PERARAKAN merdeka adalah antara acara yang dinanti-nantikan saban tahun ketika menyambut Hari Kebangsaan. Namun, disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun 2020, acara itu tidak lagi dianjurkan demi menjaga keselamatan bersama.

Bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-64 dan mengembalikan kemeriahan suasana perbarisan Merdeka, Suria FM dan KL Sketch Nation bakal menganjurkan perarakan animasi virtual pada 31 Ogos ini, jam 9.30 malam menerusi platform digital Facebook dan YouTube.

Istimewanya Perarakan Merdeka SuriaxKLSketchNation itu membabitkan kontinjen-kontinjen yang unik dan menarik kerana kesemuanya merupakan karakter animasi digital yang dilukis sendiri oleh rakyat Malaysia.

Bermula pada 29 Julai lalu, orang ramai yang ingin menyertai perarakan Merdeka Suria x KLSketchNation ini perlu menghantarkan lukisan atau ilustrasi unik karakter pilihan mereka mengikut template yang diberikan menerusi sembilan kategori di laman web Suria.

Lebih 1000 penyertaan diterima sehingga tarikh tamat peraduan pada 20 Ogos yang lepas.

Karakter-karakter animasi yang dihantar itu akan menjadi sebahagian daripada barisan kontinjen mengikut kategori masing-masing.

Antara kategori yang telah diperkenalkan adalah Olimpik, Patriotik, Super Heroes, Flora, Fauna, Hantu Malaysia, Selera Malaysia, Kebudayaan dan Teknologi.

Kontinjen Suria FM yang terdiri daripada karakter penyampai-penyampai Suria juga tidak ketinggalan menjadi salah satu kontinjen dalam perarakan Merdeka ini.

Peraduan lukisan animasi ini membuka peluang rakyat Malaysia yang berbakat untuk merebut sebahagian daripada wang tunai berjumlah RM4,000 dan hadiah eksklusif daripada Suria FM dan KLSketchNation.

Iklan

Animasi tiga pemenang utama dan 10 pemenang saguhati terpilih akan diumumkan dan menjadi kontinjen terakhir dalam perarakan Merdeka ini.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, kolaborasi bersama KLSketchNation untuk projek perarakan Merdeka itu merupakan pengalaman baharu buat Suria FM.

“Kami tidak pernah lmenganjurkan konsep peraduan sebegini dimana ia memberikan peluang kepada pendengar untuk turut sama menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menghasilkan karakter animasi bertemakan patriotik.

Iklan

“Ini merupakan satu kelainan yang Suria FM mahu tonjolkan dalam penganjuran peraduan sekaligus ingin mendorong masyarakat Malaysia sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan norma baru dan secara virtual.

“Suria FM berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menghantarkan penyertaan dan juga kepada rakan penganjur KLSketchNation yang sudi bekerjasama dengan Suria FM,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.