BIARPUN pihak polis mengesahkan namanya tidak terlibat dan menolak pendakwaan ke atasnya dalam kes pemerdagangan manusia pada awal bulan ini, pelawak Tauke Jambu tekad untuk mengundurkan diri daripada dunia hiburan.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria berkata, dia mahu menjalani kehidupan yang lebih tenang dan percaya rezeki ada di mana-mana.

Mengakui fitnah dan kecaman yang diterimanya sebelum ini termasuk gelaran ‘bapa ayam’ amat begitu memberi kesan pada diri dan keluarganya.

Tidak mahu lagi meletakkan keluarganya dalam situasi sama, Tauke 45, merasakan adalah lebih baik dia meninggalkan dunia hiburan dan kembali menjalani kehidupan sebagai orang biasa.

“Mungkin lebih baik melakukan pekerjaan lain daripada berterusan membiarkan maruah saya dipijak-pijak andai saya masih lagi di bidang ini.

“Keluarga termasuk adik-beradik saya pun memberikan sokongan moral sebab mereka tahu bagaimana teruknya saya berdepan dengan tohmahan,” ujarnya.

Terdahulu Tauke antara yang ditahan bagi membantu siasatan dalam kes kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 1 Ogos lalu.

Bagaimana polis mengesahkan seorang pelawak yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes itu tidak didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin.

Iklan

Mahkamah Majistret Kuala Pilah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 kepada seorang wanita bujang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan dengan menawarkan khidmat seks.

Bekas peserta program Raja Lawak mengakui lega dengan pengesahan terbabit, sekali gus membuktikan dia tidak bersalah sebagaimana yang didakwa umum.

Iklan

“Alhamdulillah dan syukur. Sebelum ini pun saya sudah maklumkan tidak terlibat tetapi tetap ada mulut yang masih bercakap dan paling teruk apabila keluarga saya turut dikecam.

“Hari ini terbukti saya tidak terbabit dalam kes itu. Bagi yang menfitnah, sila bersihkan semula nama saya. Bukan mudah melalui dugaan sebegini sebab memberi kesan emosi kepada keluarga saya,” katanya.