SEJAK kebelakangan ini, ramai selebriti lelaki mula beralih untuk lebih mendekati dan mendalami agama Islam dengan menyertai jemaah tabligh.

Ini termasuklah penyanyi yang juga bekas anggota kumpulan Kool, Zack atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad.

Mula aktif menyertai tabligh sejak awal tahun 2019, tidak bermaksud dia mengasingkan diri daripada dunia seni.

Jelas Zack, dia kini beralih kepada genre muzik berunsur ketuhanan dan kerohanian serta berharap dapat mendekati peminat muzik Islamik.

Baru sahaja tampil dengan single Bisikan Kalbu, Zack berkata, dia berharap lagu yang dicipta sendiri itu mendapat tempat di hati pendengar.

“Sejak saya mula berhijrah pada awal 2019, saya memang terfikir untuk keluar dengan lagu berunsur ketuhanan atau kerohanian.

“Mengikut guru saya, dakwah ini luas, tidak semestinya dengan cara bercakap, menerusi lagu pun boleh.

“Memandangkan saya tidak pandai bercakap, saya cuba tampil dengan single berunsur ketuhanan dengan niat dapat menyampaikan dakwah dalam lagu.

“Sebenarnya saya menunggu lagu daripada beberapa komposer dan penyanyi Islamik, bagaimanapun disebabkan kekangan waktu, mereka tidak dapat memenuhi permintaan saya.

“Mungkin doa saya diperkenankan ALLAH SWT, pada suatu pagi selepas Subuh, saya mula mendapat ilham untuk menghasilkan lagu Bisikan Kalbu.“Alhamdulillah dalam masa 12 jam, lagu ini siap sepenuhnya,” ujarnya kepada SinarPlus.

Zack memberitahu, dia mendapat ilham untuk menyiapkan lagu Bisikan Kalbu selepas Subuh pada suatu pagi.

Bagaimanapun kata Zack, 55, proses menerbitkan lagu itu tidak mudah.

Dia mengambil masa selama empat bulan untuk menerbitkan dan seterusnya melakukan sesi promosi tanpa bantuan syarikat penerbitan.

“Saya lakukan semuanya sendiri, malah muzik videonya pun saya buat sendiri. “Alhamdulillah dengan pengalaman sebelum ini, dapatlah saya hasilkan karya saya sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai perjuangannya dalam tabligh, Zack berkata, dia bertuah kerana mendapat bimbingan rakan seindustri yang terlebih dahulu menyertai tabligh.

Iklan

“Alhamdulillah, saya makin seronok menyertai sesi rehlah (lawatan luar kawasan) bersama Maulana Wan Helmi, manakala untuk pengajian agama dengan Ijam Medicine.

“Cuma sejak pandemik ini, terbatas sedikit untuk keluar, tetapi saya banyakkan membaca dan mengaji,” jelasnya yang tidak mendapat sebarang tawaran berlakon semenjak Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu.

Rindu ibu

Sementara itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Zack berkata, dia sepatutnya pulang ke Melaka untuk menyambut lebaran bersama bonda tercinta.

Iklan

Namun disebabkan larangan merentas negeri, hasrat itu terpaksa dilupakan dan ibunya berhari raya sendirian.

“Memang terasa sebab tahun ini giliran saya beraya dengan mak yang bersendirian di kampung.

“Selalunya bila Aidilfitri, dia harapkan anak-anak untuk buat apa yang patut.

Zack terpaksa akur untuk berhari raya di Kuala Lumpur tanpa ibu tercinta.

“Doa saya agar mak panjang umur agar dapat lagi saya menyambut lebaran dengannya untuk tahun akan datang,” ujarnya.