Perjuangan di sebalik kejayaan bintang tenis tersohor, Venus dan Serena William dalam King Richard

A
A
A

FILEM-FILEM yang diadaptasi daripada kisah benar sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri. Apatah lagi apabila ia melibatkan tokoh terkenal yang memberikan inspirasi kepada masyarakat.

Begitu dedikasi dibawakan naskhah King Richard yang merakam kisah benar di sebalik perjuangan Richard William untuk menjadikan dua anak perempuannya, Venus dan Serena William sebagai bintang tenis terkenal dunia.

Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana dua atlet tersohor itu melalui jalan sukar dan berliku sebelum berjaya melakar pelbagai kejayaan membanggakan dalam sukan diceburi.

Filem arahan Reinaldo Marcus Green itu mengisahkan tentang seorang bapa, Richard William yang mempunyai impian besar terhadap dua anak perempuannya.

Bagaimanapun disebabkan status mereka daripada komuniti kulit hitam dan hidup serba kekurangan, banyak kekangan terpaksa dilalui untuk usaha menempatkan diri dalam sukan tenis yang ketika itu didominasi masyarakat kulit putih.

Namun segala ejekan dan penolakan yang diterima sedikitpun tidak mematahkan semangat Richard merealiasikan impian tersebut sehingga akhirnya usaha keras yang tidak mengenal erti putus asa itu membuahkan kejayaan.

Venus dan Serena melakar sejarah apabila menjadi bintang tenis tersohor dengan pencapaian hebat dalam pelbagai kejohanan termasuk Grand Slam dan Olimpik.

Secara keseluruhannya, King Richard merupakan sebuah karya yang berjaya digarap dengan begitu baik dan mempersonakan.

Tidak hairanlah filem ini berjaya tersenarai sebagai calon akhir kategori Filem Terbaik pada Anugerah Oscars 2022, selain Filem Asal terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Suntingan Filem Terbaik dan Lagu Asal Terbaik.

Meskipun durasi tayangannya hampir dua jam setengah, namun setiap babak yang ditampilkan penting dan memberikan inspirasi kepada mereka yang menonton.

Naskhah itu juga berjaya menjentik emosi penonton yang terkesan dengan beberapa babak melibatkan Richard dan isterinya yang berselisih pendapat ketika berusaha memberikan yang terbaik buat anak-anak mereka.

Lakonan mantap Will Smith dan Aunjanue Ellis sebagai ibu bapa kepada dua bintang tenis tersohor itu turut menjadi kekuatan filem ini.

Jika anda kehilangan semangat untuk meneruskan perjuangan, King Richard mungkin mampu memberikan inspirasi dan aura positif untuk meneruskan langkah.

Filem biografi ini sedang hangat ditayangkan di beberapa pawagam GSC terpilih seluruh tanah air bermula 17 Februari lalu.

King Richard

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Biografi/drama

Durasi: 2 jam 25 minit

Pengarah: Reinaldo Marcus Green

Pelakon: Will Smith, Aunjanue Ellis, Jon Bernthal, Saniyya Sidney

Tarikh Tayangan: 17 Februari 2022

Edaran: Warner Bros. Pictures

(FOTO: Warner Bros. Pictures)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca