PERNAH melalui pengalaman perit di dera pembantu rumah, kehilangan orang tersayang dan isu keluarga menjadi pencetus inpirasi buat anak jutawan kosmetik terkenal, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau Cik B menghasilkan lagu Tolonglah.

Lagu yang bergenre ‘dark emo rap’ itu dihasilkan bersama ibunya, Datuk Seri Dr. Hamizah Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV).

“Lagu ini menceritakan hidup saya dari kecil yang mana saya melalui pengalaman di dera oleh pembantu rumah, kehilangan orang tersayang, isu keluarga dan sebagainya.

“Saya berharap peminat dapat menerima lagu ini walaupun ada yang tidak percaya, saya bukan macam anak orang kaya lain, saya dikurung, mengalami depresi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada pelancaran single ‘Tolonglah’ di kediamannya di Meru Heights, Jelapang semalam.

Tambah gadis berusia 15 tahun itu, kemunculan single itu merupakan transisi baharu untuk keluar dari kepompong pemalunya kepada selebriti yang bakal mewarnai dunia muzik tanah air.

“Lagu ini dihasilkan setahun lalu dengan mendapatkan bantuan daripada seseorang untuk buat lagu itu. Saya mahu keluar lebih awal tapi ketika itu rasa malu dan takut dengan media.

“Setelah setahun, baru sekarang saya rasa inilah waktu yang sesuai untuk lebih bersinar kerana mula percaya akan diri sendiri sekarang,” katanya yang baharu saja tampil dengan drama Lelaki Lingkungan Cinta.

Ditanya mengenai kritikan yang bakal dihadapinya, Cik B turut optimis untuk berhadapan dengan perbezaan pandangan terhadap dirinya dan lagu.

Iklan

“Saya sudah biasa menerima kritikan dan kecaman sejak berusia 12 tahun. Sekarang saya sudah imun dengan kecaman semua.

“Saya boleh dan bersedia untuk menyanyi secara langsung dan akan ambil kelas vokal untuk mantapkan lagi suara,” katanya yang turut merancang untuk melancarkan single kedua tahun depan.

Iklan

PENULIS ASAL :  NOOR AINON MOHAMED YUSOF (WARTAWAN SINAR HARIAN PERAK)