SELEPAS beberapa bulan melakukan penghijrahan dan tampil dengan imej bertudung, selebriti versatil, Cik Manggis mengakui semakin selesa dengan apa yang dilalui kini.

Jika sebelum ini ada pihak yang menggangap perubahan tersebut akan memberi kesan kepada kerjaya seninya, Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin, 31, ternyata membuktikan sebaliknya.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga merupakan anggota kumpulan De Fam itu, dia masih lagi aktif dalam kerjaya seninya seperti biasa, malah dalam masa sama memperoleh banyak peluang untuk mencuba perkara baharu.

“Selepas bertudung, kerjaya seni berjalan seperti biasa dan saya tidak melihat perubahan imej itu mengganggu kerjaya seni saya.

“Saya dan De Fam masih lagi dengan aktiviti kami, cuma dari segi persembahan pentas mungkin ia tidak serancak dulu kerana keadaan semasa sekarang di mana kita semua sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya sekarang banyak bekerja dari rumah dan terikat dengan pelbagai komitmen bersama beberapa jenama untuk menjayakan kempen mereka di media sosial.

“Alhamdulillah rezeki semakin murah dan ia datang dalam pelbagai cara. Banyak benda dan peluang baharu yang saya dapat, sekali gus memberi pengalaman berbeza dalam kerjaya dan hidup saya sendiri,” katanya kepada SinarPlus.

Tidak hanya berbakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan tarian, Manggis juga tidak kekok berada di depan kamera beraksi sebagai pengacara.

Malah penampilannya sebagai pengacara jemputan bersama Nabil Ahmad dalam program MeleTOP baru-baru ini, turut mencuri perhatian ramai apabila rata-ratanya memberikan komen positif.

“Kalau ikutkan ini merupakan kali kedua saya buat pengacaraan, di mana kali pertama dulu saya terlibat dengan program Dangdut Star terbitan Astro pada tahun 2016.

“Pada awalnya risau juga nak buat kerana MeleTOP merupakan program popular, apa lagi bergandingan dengan Nabil yang cukup dikenali dengan sikap spontannya.

“Bagaimanapun alhamdulillah semuanya OK. Mungkin sebab kami berdua dah kenal lama, jadi saya mudah tangkap cara penyampaian dia.

“Dalam pada itu, saya juga kebetulan baru sahaja selesai rakaman program 13 episod, Hello Trend terbitan RTM yang turut menampilkan saya sebagai pengacara,” katanya yang terharu dengan kepercayaan diberikan.

 

Masih orang yang sama

Biarpun tampil dengan imej bertudung, kata Manggis, dia masih lagi orang yang sama dan tidak pernah melihat penampilan tersebut sebagai satu halangan untuknya menjadi diri sendiri dan melakukan apa yang diminatinya.

Iklan

“Selain mengenakan tudung, saya tak rasa banyak beza pun dengan penampilan sebelum ini kerana saya sejak dulu memang gemarkan pakaian yang longgar dan besar.

“Jujurnya kebanyakan pakaian dalam almari saya masih lagi boleh dipakai dan sesuai untuk digayakan dengan tudung.

“Jadi tiada rasa kekok atau terlalu mencuba nak menyesuaikan diri dan sebagainya. Semuanya dipermudahkan buat saya,” ujarnya.

Menurut Manggis juga, dia juga masih meneruskan minatnya dalam bidang tarian seperti biasa dan tidak pernah melihat imej terbaharunya itu sebagai satu kekangan. Apatah lagi tarian merupakan cinta pertamanya dalam bidang seni.

“Sebelum ini mungkin ada yang fikir dah pakai tudung, tak boleh nak menari lagi. Tapi sebenarnya tiada masalah pun, cuma kenalah pandai sesuaikan diri dengan keadaan.

Iklan

“Pertama kali berkongsi video menari dengan mengenakan tudung di Instagram, saya fikir ramai yang akan kecam. Tapi sebaliknya berlaku apabila hampir kesemua komen yang diterima adalah positif.

“Sebenarnya selepas bertudung, saya ada stail penampilan sendiri ketika menari iaitu dengan memakai topi bersama shawl labuh yang dijatuhkan di bahagian depan dan mengenakan pakaian longgar.

“Pendekatan sama saya terapkan kepada pelajar di kelas tarian sebelum ini, kalau kita mengenakan pakaian yang longgar, sebenarnya lebih mudah untuk melakukan gerakan-gerakan cantik dalam tarian dan ramai yang bersetuju dengan saya,” kata Manggis.

 

(FOTO: Instagram Cik Manggis)