Pesanan Rosyam Nor buat Khairy Jamaluddin
USAHA Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menguatkuasakan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 nampaknya menarik perhatian penerbit dan pelakon popular, Datuk Rosyam Nor.
Menurut Rosyam, beliau menyokong 300 peratus (%) usaha yang dibuat Khairy dan mengakui sudah mula terasa kesan merokok sejak 37 tahun lalu.
"Saya nak cakap dengan YB KJ (Yang Berhormat Khairy Jamaluddin), YB KJ kata nak berhentikan orang yang hisap rokok, budak-budak yang lahir pada tahun 2007 lepas itu jangan hisap rokok lagi dan mana-mana yang merokok macam saya kena berhenti merokok.
"Saya nak cakap satu, YB KJ nak tukar Rang Undang-Undang (RUU) ini, saya memang sokong 100%, 300% saya sokong! Sebab saya sudah merokok sejak usia 18 tahun, dah banyak duit yang habis.
"Sekarang umur 55, semput, naik tangga pun semput dan macam-macam lagi," ujarnya yang pada mulanya kelihatan tidak bersetuju dengan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Sokongan semua
Tambah usahawan itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia dapat menyokong usaha sama kerana ia kelak bakal membawa kebaikan bersama.
"Saya sokong RUU ini supaya semua rakyat Malaysia sihat dan YB KJ buat benda ini, bukan untuk keburukan tetapi untuk kebaikan.
"Jadi saya harap semua dapat menyokong usaha baik ini. Untuk YB KJ apa pun, hentak sampai jadi," katanya.
Bahkan, Rosyam juga sedia untuk menyertai mana-mana program insentif anjuran kerajaan untuk menggalakkan perokok berhenti merokok.
"Saya dah jadi perokok, kalau YB KJ nak buat insentif untuk berhenti merokok, saya akan masuk dan saya nak berhenti merokok.
"Budak-budak yang lahir 2007, ini benda baik dan semua ibu bapa harus sokong YB KJ!" ujarnya.
Khairy pada Isnin akan membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 buat kali kedua.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan itu membentang RUU berkenaan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara yang berkaitan.
Berdasarkan draf RUU itu, individu yang didapati menjual atau mempamerkan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, dicadang didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Individu didapati melakukan kesalahan kali kedua dan berikutnya menjual serta mempamerkan produk tembakau, kepada individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya pula dicadang didenda tidak lebih RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan itu untuk kali pertama, dicadang dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya pula, pertubuhan perbadanan, boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang