BARU sahaja mencipta populariti dan mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan, bintang muda Arena Iman akur apabila banyak aktiviti seni terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. bermula 1 Jun lalu.

Tidak terkecuali, penggambaran drama terbaharu lakonan Arena, Hati Yang Dikhianati turut ditangguhkan, sekali gus menyebabkan siri adaptasi telenovela popular Venezuela, Mis Tres Hermanas itu dihentikan siarannya buat sementara waktu.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar, Arena Wan Mun-Yi Iman Wan itu sentiasa positif dan percaya ia dilakukan demi kebaikan semua.

“Alhamdulillah sepanjang PKP saya mempunyai banyak masa untuk fokus kepada keluarga kerana sebelum ini terlalu sibuk di lokasi penggambaran episod panjang drama Hati Yang Dikhianati.

“Saya pasti semua yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Di saat ramai orang lain di luar sana tidak dapat jumpa keluarga mereka berbulan-bulan, saya pula sebaliknya.

“Jadi saya rasa lebih bersyukur dan menghargai masa bersama keluarga. Lebih penting saya dapat membantu mengurangkan beban ibu dan ayah menguruskan adik lelaki saya yang autistik, Adam,” ujarnya kepada SinarPlus.

Dalam pada itu, bekas finalis Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 itu juga mengambil kesempatan tersebut untuk memperbaiki kelemahan diri dan mendalami ilmu lakonan dalam usahanya menjadi pelakon disegani.

Malah Arena yang kini berusia 22 tahun, tidak ketinggalan mengikuti kelas asas lakonan secara dalam talian anjuran pelakon terkenal, Nabila Huda baru-baru ini.

“Mengisi masa sepanjang PKP juga, saya cuba memperbaiki kualiti lakonan saya dengan menonton kembali semua episod Hati Yang Dikhianati untuk mengkaji balik kelemahan saya.

Iklan

“Daripada situ saya berlatih sendiri di rumah, merujuk kepada drama-drama lain untuk belajar, selain mengikuti kelas lakonan.

“Ia merupakan persediaan saya sebelum kembali masuk ke set drama Hati Yang Dikhianati untuk menyambung penggambaran episod-episod seterusnya,” ujarnya yang sebelum ini dikenali menerusi drama bersiri SMK di Astro Ceria.

Menggalas tanggungjawab sebagai kakak sulung kepada tiga beradik, Arena yang juga anak kepada komposer terkenal, Iman Wan, mengakui sentiasa mahu memberikan contoh terbaik buat adik-adiknya.

Iklan

“PKP kali ni turut memberi ruang kepada saya untuk belajar memasak dengan ibu. Banyak resipi-resipi menarik yang diajar kepada saya dan insya-ALLAH mungkin selepas ini saya boleh ganti ibu di dapur.

“Bagaimanapun antara aktiviti yang paling saya saya hargai apabila berpeluang mengikuti kelas mengaji al-Quran secara dalam talian.

“Pengalaman PKP yang cukup bermakna buat saya sekeluarga,” kata Arena yang aktif membuat ulasan pelbagai produk menerusi laman media sosial miliknya.