Popular di media sosial, Cupcake Aisyah luah hasrat cuba nasib dalam bidang pengacaraan

A
A
A

MEDIUM konvensional seperti akhbar, majalah, televisyen dan radio merupakan wadah informasi yang turut dijadikan sebagai platform buat sesiapa sahaja yang ingin terlibat di dalam dunia seni.

Seiring dengan peredaran masa, saluran yang sebelum ini menjadi medan utama mula beralih corak ke arah digital, sekali gus mewujudkan cabang maklumat dan hiburan baharu kepada khalayak.

Lebih pantas dan mudah, media sosial yang menjadi ‘rumah‘ untuk mengeratkan hubungan juga mampu melahirkan ramai bintang baharu yang mempamerkan bakat masing-masing.

Tidak ketinggalan, pesona influencer yang cukup dikenali dengan nama Cupcake Aisyah.

Beliau mula bergiat aktif dan ‘hidup‘ di hadapan kamera seawal usia 12 tahun sehinggalah pemilik nama lengkap Nur Aisyah Mohd Razip kini sudah mencecah 21 tahun.

Sedar akan usia yang terlalu awal memboloskan diri di alam maya, telah membuatkan empunya diri sesekali berasa janggal apabila terdapat individu yang mengenalinya di dunia nyata.

AISYAH lebih selesa memilih kerjaya sebagai influencer berbanding terlibat dalam bidang lakonan mahupun menjadi anak seni.

Mesra membahasakan diri sebagai Aisyah, beliau memberitahu SinarPlus tentang isi hatinya yang musykil tentang hal itu.

“Mula-mula saya rasa pelik dan tertanya-tanya bagaimana mereka semua kenal siapa diri saya? Apabila ditegur peminat, mereka bertanyakan macam-macam tentang saya, sedangkan saya tidak mengetahui apa-apa mengenai mereka.

“Memang agak kekok kerana kita perlu bercerita tentang hal peribadi dengan orang yang kita tidak kenal, namun lama-kelamaan saya tidak mempunyai masalah dan selesa terutama apabila berada di tempat awam. Saya juga mula membiasakan diri dan rasa seperti mempunyai ramai kawan.“

Itulah yang dikatakan penangan seorang influencer. Apabila situasi sebegitu acap kali berlaku, telah membuatkan remaja berkenaan lebih yakin untuk berkomunikasi dengan khalayak dan pada masa sama, meluaskan jaringan hubungannya.

Sejajar dengan kecintaan dalam bidang digital juga, anak kelahiran Selangor itu memilih melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Komunikasi dan Media Digital di Westminster School, London, United Kingdom.

Berpengaruh di Asia

Apabila berada dalam aliran yang diminati, bisiknya kepada penulis, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terjah ke dalam bidang pengacaraan yang semakin digemari oleh anak muda zaman kini.

Namun, keinginan itu hanyalah sekadar untuk mencuba nasib. Ya, siapa tahu, kebolehan dirinya yang hampir sedekad berinteraksi di hadapan lensa kamera sudah pasti boleh dijadikan kelebihan.

“Saya serahkan bulat-bulat masa depan saya kepada takdir, di samping berusaha,“ katanya yang petah berbahasa Inggeris.

Pun demikian, Aisyah mengakui, meskipun bergelar influencer, jadual hariannya agak padat dengan aktiviti promosi pelbagai jenis produk termasuk kerjasama dengan rakan baiknya, Tyra Kamaruzzaman di bawah jenama BeauTyra, Constellation Kisses baru-baru ini.

AISYAH menjalankan kerjasama dengan rakan baiknya, Tyra Kamaruzzaman melancarkan rantaian produk kosmetik di bawah jenama BeauTyra, Constellation Kisses.

Disebabkan itu, gadis periang tersebut tidak mempunyai kesempatan untuk mengisi masa hariannya dengan cabang kerjaya lain. Beliau perlu mengisi konten untuk aktiviti vlognya di YouTube.

Menyentuh tentang platform YouTube, pasti tersemat rasa bangga dan gembira dalam diri Aisyah. Masakan tidak, pengaruhnya bukan biasa-biasa.

 

Baca juga "Lelaki yang takut sebab tidak tahan dengan sifat saya yang suka sangat bercakap dan gila-gila. - Tyra Kamaruzzaman pilih fokus kerjaya berbanding cinta 

 

Menjadi satu kebanggaan apabila berkat usaha dan penat lelahnya, gadis berbintang Leo itu berjaya memenangi anugerah pada Influencer Asia 2017 dalam kategori Media Sosial Terbaik (Gaya Hidup).

Kejayaan berkenaan sememangnya tidak boleh dipertikaikan kerana sejak akaun Cupcake Aisyah diwujudkan sekitar Mac 2011, beliau sudah memiliki lebih 454,000 langganan dengan 349 video dimuat naik setakat artikel ini ditulis.

Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat individu yang bukan bertaraf selebriti yang sering muncul di kaca televisyen.

Dek kerana itu jualah, Aisyah selesa meneruskan kerjaya sebagai influencer sehinggalah beliau mempunyai keinginan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada suatu hari nanti.

Jika diselak satu persatu, kandungan di laman YouTubenya sangat santai. Antara yang menarik perhatian penulis adalah video yang menyaksikan beliau memasak, tutorial mekap, kembara, rutin harian, jalinan kekeluargaan dan pelbagai lagi rakaman dengan konsep yang menghiburkan.

“Dalam bab ini, saya berterus terang yang saya memang tidak mempunyai masalah untuk bercakap sendiri dengan kamera, tetapi apabila perlu berkomunikasi di depan umum, saya agak gementar dan malu.

“Namun, saya tidak menolak rezeki yang ada atau tawaran sebagai pengacara sekiranya bersesuaian. Cuma sekarang fokus saya hanya untuk menjadi YouTuber dan mempraktikan segala yang dipelajari di universiti bagi meningkatkan lagi kemahiran dalam diri ini,“ jelasnya.

Bebas sendiri

Kata orang, individu berbintang Leo memiliki sifat yang gemarkan kebebasan dan tidak suka dikongkong. Sifat itu mungkin tertanam dalam diri Aisyah yang jelas kelihatan teruja apabila mendapat ruang dan peluang melanjutkan pelajaran di rantau orang.

Bukan bermaksud seronok meninggalkan keluarga jauh di tanah air, tetapi sebagai anak muda yang gemar bereksplorasi, pastinya beliau selesa dengan kehidupan sebegitu. Namun, dirinya tidak sendirian di London, memandangkan abang tersayang turut ada bersama-sama.

Mengulas mengenai perbezaan yang dialaminya ketika berada di tempat sendiri berbanding di perantauan, Aisyah mengakui bebas bergerak ke sana dan ke mari. Namun demikian, itu tidak bermaksud beliau terus lupa tentang batas sebagai wanita dan pelajar.

SETELAH tamat pengajian di jurusan Ijazah Komunikasi dan Media Digital di Westminster School, London, United Kingdom., Aisyah bagaimanapun tidak mempunyai perancangan untuk terus melanjutkan pelajaran dalam tempoh masa terdekat kerana ingin fokus kepada kerja.

“Agak seronok juga kerana saya boleh melakukan apa sahaja di rumah sesuka hati. Kalau saya rasa tidak mahu makan satu hari atau jam berapa perlu bangun tidur, semuanya bergantung kepada saya sendiri.

“Rutin saya memang belajar dan pergi ke kelas. Selalunya saya tidak melakukan perkara sama kerana ada pelbagai aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti bersiar-siar dan membeli-belah.

“Boleh dikatakan setiap hari saya tidak merancang apa yang ingin dilakukan kerana segalanya berlaku secara spontan. Saya akan buat apa saja yang terlintas di dalam fikiran,“ terangnya.

Meskipun mengakui seronok menghabiskan masa belajar di negara orang, Aisyah mengulangi kata-katanya bahawa beliau belum lagi berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh masa terdekat.

“Sama juga seperti yang saya katakan tadi, saya ingin memberi fokus kepada perkembangan kerjaya sebagai influencer dulu dan selepas itu barulah menentukan hala tuju, misi dan visi masa depan saya,“ katanya.

Kemudian, penulis sengaja mengusiknya tentang perihal cinta dan alam rumah tangga. Mendengarkan pertanyaan itu, Aisyah tertawa besar.

Tegasnya, hal tersebut dirasakan terlalu awal untuk seorang remaja berusia 21 tahun membicarakannya. Namun, siapa tahu andai gadis manis yang wajahnya terkadang kelihatan seperti Selena Gomez itu mungkin sudah mempunyai pilihan hati?

MEMANDANGKAN usianya yang masih muda, Aisyah tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh masa terdekat selain mengakui dirinya yang masih solo.

Barangkali beliau turut mempunyai perancangan seperti Hailey Baldwin yang menikahi Justin Bieber ketika berusia 21 tahun, manakala Harris Alif pula menjadi suami kepada Intan Ladyana pada usia 22 tahun?

Sogokan pertanyaan itu nampak sedikit membingungkannya. Dengan nada penuh sopan, Aisyah mengaku dirinya masih solo dan masih banyak perkara yang ingin dikecapi dalam hidup. Baginya, perkara berkenaan terlalu peribadi untuk diceritakan, sementelah dirinya bukanlah selebriti popular seperti Kylie Jenner yang sering dijadikan bahan berita.

“Kahwin? Wah! Susah untuk saya nak cakapkan. Apa agaknya reaksi mak saya apabila mengetahui saya sedang bercakap tentang hal ini? Apa yang saya boleh katakan ialah saya seorang yang susah untuk mendapat kawan.

“Jika susah untuk berkawan, bagaimana pula saya ingin mencari pasangan? Tambahan, persoalan perkahwinan dan alam rumah tangga juga terlalu jauh atau kata mudahnya, tiada yang perlu diperkatakan buat masa sekarang.

“Saya juga tidak meletakkan sebarang sasaran umur untuk berkahwin dan biarlah ia menjadi rahsia ALLAH SWT untuk menentukan segala apa yang terbaik untuk saya kelak,“ katanya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca