DALAM keadaan sarat hamil lapan bulan, pelakon Nadya Syahera terkejut dan berasa bimbang apabila dijangkiti Covid-19 pada Jumaat.

Nadya 29, memohon orang ramai agar mendoakan kesihatannya serta bayi dalam kandungan berada keadaan yang baik sepanjang ujian yang dilaluinya itu.

“Bila DIA mengkehendaki maka terjadilah. Saya reda. Doakan segala urusan saya sekeluarga dipermudahkan dan doakan juga buat bayi kecil di dalam rahim saya. Semoga segalanya di bawah lindungan-Nya,” ujarnya dalam satu perkongsian di laman Instagram.

Tambah pelakon The Maid itu, biarpun ujian kendiri Covid-19 yang dilakukan sebelum itu menunjukkan keputusan negatif, dia tergerak hati mengajak suaminya, Fizul Nawi untuk membuat ujian sama di klinik pula kerana ada mengalami simpton.

“Bermula minggu lepas dengan Mamad batuk-batuk, selepas itu Fizul demam dan batuk berkahak, Aleena demam dan akhir sekali saya juga demam.

“Buat ujian kendiri beberapa kali tetapi keputusan negatif. Saya tergerak ajak suami pergi buat ujian saringan di klinik.

Iklan

“Saya buat ujian RTK sahaja kerana tidak mengalami simpton teruk, suami buat PCR kerana dia dah seminggu lebih batuk teruk dan hilang-hilang.

“Dukacitanya keputusan RTK saya positif, Terkejut dan blur, tapi saya reda. Cuma risaukan anak-anak sahaja. Keputusan suami belum lagi dapat, sementara anak-anak pula akan menjalani ujian saringan esok (hari ini),” katanya.

Iklan

Nadya dan suami berkahwin pada 25 September 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Aleena Rose, 7, dan Mohamad Dayyan, 6.

(FOTO: INSTAGRAM NADYA SYAHERA)