SELEBRITI popular Indonesia, Rina Gunawan, 47, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pertamina Simprug, Jakarta, Indonesia, selepas positif Covid-19, pada Selasa.

Menurut suami Allahyarham iaitu Teddy Syach sebagaimana dilaporkan media Indonesia, penyanyi dan pengacara itu dimasukkan ke ICU sejak seminggu lalu selepas mendapat gejala Covid-19.

Rina atau nama lengkapnya Rina Mustikana Gumilang Gunawan mengalami sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6.45 petang (waktu Indonesia) semalam.

“Arwah isteri sudah dua minggu sakit disebabkan penyakit asma dan radang paru-paru.

“Sempat menjalani rawatan di rumah, tetapi arwah dikejarkan ke hospital dan berada ICU selama 10 hari, sebelum meninggal dunia,” katanya sempat melakukan panggilan video beberapa hari sebelum pemergian isterinya.

Allahyarham selamat dikebumikan satu liang lahad dengan arwah bapanya, TB Atik Junaedi yang meninggal dunia lima tahun lalu di tanah perkuburan, TPU Tanah Kusir, Jakarta Selatan.

Iklan

Pengebumian Rina yang juga aktif berlakon sinetron itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di mana hanya beberapa petugas hospital dan TPU Tanah Kusir berpakaian PPE lengkap terlibat dalam urusan tersebut. Malah, jenazah juga dikebumikan menggunakan peti yang dibungkus plastik.

Iklan

Ketika hayatnya, Allahyarham Rina bukan sahaja aktif sebagai penyanyi dan pelakon, tetapi juga dikenali sebagai pengacara dan ahli perniagaan.

Allahyarham dan suami, Teddy mendirikan rumah tangga pada 11 April 1999 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqshal Ilham Syafatullah dan Karnisya Rahmasyach.