Public Performance Malaysia (PPM) bertegas mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Pengerusinya, Freddie Fernandez yang didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap PPM.

Menerusi satu kenyataan media, PPM mendedahkan telah menghantar penyataan tuntutan terhadap persatuan tersebut pada pada 12 Januari lalu.

Selain itu, PPM sebelum ini turut mengeluarkan beberapa kenyataan media pada 13 Oktober dan 10 November tahun lalu untuk membetulkan kenyataan tidak benar yang dibuat oleh Freddie pada 3, 6, dan 26 Oktober 2020 menerusi beberapa media cetak, online dan juga platform media sosial.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim berkata, PPM juga turut mengeluarkan surat tuntutan kepada pihak Karyawan dan Freddie pada 12 November 2020, menuntut agar permohonan maaf secara terbuka, menarik balik dan menghentikan penyebaran kenyataan fitnah terhadap PPM.

Tambah Rosmin, tindakan Freddie yang dilihat enggan memenuhi tuntutan tersebut, malah secara sengaja dan berulang kali mengeluarkan kenyataan tidak benar tentang PPM adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

“Adalah mendukacitakan walaupun pelbagai usaha dibuat pihak PPM untuk menegakkan kebenaran menerusi kenyataan balas media, namun Freddie dan Karyawan berterusan memfitnah PPM.

“Kami tiada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang di atas kenyataan fitnah tersebut,” kata Rosmin.

Tambahnya lagi, tindakan dilakukan Karyawan dan Freedie itu tidak wajar, apatah lagi ketika industri muzik sedang bergelut dengan kesan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

Iklan

“Kenyataan fitnah ini dikeluarkan pada saat paling buruk, di mana seluruh industri muzik dan negara bergelut dengan cabaran dan dugaan untuk mengatasi kesan pandemik.

“Ia memberi kesan kepada semua sektor ekonomi negara dan menjejaskan punca pendapatan ramai penggiat seni muzik tanah air termasuk komposer, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dan syarikat rakaman.

“Tindakan Karyawan dan Freddie itu telah mengakibatkan gangguan kepada aktiviti pelesenan kami dan menyukarkan lagi kerja kami untuk mengutip yuran pelesenan bagi pihak ahli-ahli kami dalam persekitaran pasaran yang amat mencabar,” ujarnya.

Iklan

Selain daripada mengambil tindakan sivil, PPM telah membuat laporan polis terhadap Karyawan dan Freddie atas kesalahan jenayah fitnah.

Diikuti dengan tindakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan menyalahguna internet untuk menghasil dan menyebar komen dan berita palsu dengan niat untuk mengganggu PPM.