PENULARAN wabak pandemik sejak setahun lalu di Malaysia masih berada di tahap yang membimbangkan dengan kes jangkitan kekal purata lebih 6,000 sejak beberapa hari lalu.

Bahkan seluruh rakyat Malaysia masih terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan secara tidak lansung menjejaskan kedudukan sosioekonomi sehingga menyukarkan mereka untuk menghadapi situasi serta bertahan dengan keadaan pandemik sekarang ini.

Oleh itu, pelbagai usaha dibuat bagi membantu golongan memerlukan termasuklah kempen kibarkan bendera putih bagi mengesan mereka yang berada dalam kesusahan.

Terkesan dengan apa yang berlaku, pendakwah bebas dan selebriti, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan PU (Pencetus Ummah) Riz terpanggil membantu 110 keluarga kurang berkemampuan di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

PU Riz, 26, berkata, dia bersama NGO, Pertubuhan Kasih Neelofa menyalurkan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan asas harian kepada keluarga terpilih.

PU Riz tidak hanya membantu keluarga yang mengibarkan bendera putih, tetapi juga penduduk lain di kawasan setempat.

“Saya akui, setiap hari saya akan mendapat mesej peribadi (DM) di Instagram yang meminta bantuan. Malah apabila terbaca mengenai kempen kibarkan bendera putih ini saya sedar semakin ramai yang berada dalam kesusahan.

“Selepas mendapat maklumat ada keluarga di Taman Jinjang Baru yang mengibarkan bendera putih, saya bersama pasukan Pertubuhan Kasih Neelofa ambil keputusan untuk ke sana.

“Alhamdulillah, kami dapat bantu dalam 110 keluarga. Walaupun bukan semua kibar bendera putih, tapi kami bantu juga. Semoga sumbangan ini memberikan manfaat buat mereka sekeluarga,” katanya.

Sokongan gerakan kibar bendera putih

Mengulas mengenai gerakan mengibarkan bendera putih sebagai jalan meminta bantuan, PU Riz memuji usaha yang dibuat rakyat Malaysia untuk membantu sesama insan.

Iklan

“Saya percaya ini antara usaha untuk membantu mereka yang betul-betul memerlukan ketika ini. Malah, tidak ada unsur paksaan pun dalam melaksanakan perkara ini.

“Jadi tidak salah kalau ada mana-mana pihak yang membantu mereka yang kibarkan bendera putih ini.

“Paling penting sebenarnya ia adalah satu lagi cara bagaimana kita menunjukkan rasa berkasih sayang antara satu sama lain terutama dalam hidup bermasyarakat. Disebabkan itu, saya bersama Pertubuhan Kasih Neelofa mahu berkongsi rezeki ini kepada mereka yang memerlukan.

Iklan
PU Riz menyifatkan usaha untuk membantu mereka yang memerlukan sebagai cara bagaimana kita menunjukkan rasa berkasih sayang antara satu sama lain terutama dalam hidup bermasyarakat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah banyak membantu dalam menjayakan setiap misi yang kami jalankan. Insya Allah, rezeki yang ada ini kita akan terus kongsi bersama,” ujarnya.

Sebelum ini, PU Riz turut memberikan RM300 kepada l30 pelajar yang mendapat keputusan 5A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam masa sama, Pertubuhan Kasih Neelofa baru-baru ini menyerahkan kelengkapan 100 set jenazah berjumlah RM41,900 kepada Pondok Maheliah di Kota Bharu, Kelantan yang menyediakan khidmat pengurusan kematian secara percuma kepada golongan asnaf yang kurang berkemampuan di negeri itu.