TIDAK hanya menggunakan media sosial untuk berkongsi perkembangan karier dan peribadi semata-mata, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel turut melihat fungsi platform itu dengan sisi berbeza.

Menurut Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, dia mahu menggunakan platform media sosial untuk berkongsi informasi dan menyampaikan kebaikan kepada pengikutnya.

“Zaman sekarang kita mudah dapat informasi hanya di hujung jari. Jadi sebagai selebriti, kita perlu jalankan tanggungjawab untuk sampaikan informasi berguna.

“Saya tidak mahu jadi sekadar penghibur. Saya nak jalankan tanggungjawab kepada peminat dengan sampaikan apa yang saya tahu.

“Sebagai individu yang banyak mata memandang, memang wajar saya jadikan pengaruh ini sebagai perantaraan untuk sebarkan perkara baik,” katanya pada sesi Chillax secara maya bagi mempromosikan Program Amal COVAiD #BaikSemula baru-baru ini.

Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Naim akan terlibat dengan Program Amal COVAiD #BaikSemula anjuran Media Prima Audio (MPA).

Program itu dijadualkan berlangsung pada 4 September ini bermula jam 12 tengah malam selama 24 jam dan disiarkan di akaun YouTube Hot FM, Hot TV.

Program amal berhibur sambil menderma itu bertujuan mengumpul dana untuk petugas barisan hadapan yang kini terus berjuang membantu rakyat Malaysia melawan Covid-19.

Isu vaksin

Dalam pada itu, mengulas mengenai kelantangannya bercakap mengenai isu vaksin, penyanyi lagu Sumpah itu berkata, walaupun pilihan untuk menerima vaksin Covid-19 adalah hak individu, namun tindakan mereka menolak vaksin boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab

Iklan

“Memang semua orang ada pilihan dan hak masing-masing. Tetapi menjaga nyawa orang lain adalah sebahagian daripada common sense (pertimbangan akal budi).

“Tidakkah anda tahu pilihan anda boleh beri kesan kepada diri sendiri dan orang lain?” katanya.

Iklan

Tambah Naim, orang yang menolak vaksin sepatutnya tiada lagi keraguan mengenai vaksin Covid-19 telah difatwakan oleh pihak berkuasa agama dan dianggap salah satu ikhtiar untuk kehidupan.

“Saya menggesa orang ramai untuk ambil vaksin demi mempercepat imuniti kelompok. Bukan dua bulan, dah nak masuk dua tahun kita asyik berada dalam situasi (Perintah Kawalan Pergerakan) sekarang.

“Vaksin untuk kebaikan sendiri, kenapa nak tolak sesuatu ikhtiar untuk kita teruskan hidup lebih baik pada masa akan datang?” soalnya.