“Program ini lagi susah daripada pertandingan nyanyian” - Ayu Damit terpilih sertai Juara Agrotek
BIARPUN sedang sibuk merencanakan kembali kerjaya seninya, penyanyi Ayu Damit mengakui akan terus memberikan perhatian kepada perniagaannya dalam bidang pertanian dan makanan.
Menurut Ayu, 32, pada dia bernasib baik kerana turut dibantu oleh suami dan pekerja yang bersungguh-sungguh memberikan komitmen mereka.
Malah pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu bersyukur rezeki mereka tetap murah, meskipun pada ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Masa PKP ini, alhamdulillah dapat jadi pembekal. Baru habis cili dan sekarang sedang set up tanaman timun pula.
“Kami usahakan tanah di Pangsoon, Hulu Langat untuk tanam cili, kacang panjang, timun, terung dan rock melan (tembikai wangi) dan alhamdulillah semuanya menjadi,” ujarnya yang baru sahaja tampil dengan single terbaharu, Permata.
Dalam pada itu, Ayu turut berkongsi tentang penyertaannya dalam sebuah program pertanian, Juara Agrotek, terbitan RTM.
“Disebabkan ada pengalaman dalam pertanian, saya cuba menyertai program Juara Agrotek.
“Mula-mula tengok lampiran penyertaan, macam menarik dan saya minta suami masuk tapi dia tak mahu, sebaliknya minta saya pula yang masuk.
“Nak sertai program itu kena buat video, tunjuk yang kita ada kebun. Mungkin produksi tertarik dengan persembahan video Ayu, akhirnya terpilih sertai program 13 episod itu,” katanya yang sempat menjalani penggambaran sebanyak tiga episod saja sebelum PKP dilaksanakan.
Kata ibu kepada tiga orang anak itu lagi, pernyertaannya dalam program tersebut lebih susah berbanding menyertai pertandingan nyanyian. Apatah lagi dalam kalangan peserta terpilih, Ayu adalah satu-satunya artis.
“Pesertanya, Ayu seorang saja artis, manakala yang lain terdiri daripada orang biasa tapi tapi semuanya berkerjaya, bukan calang-calang orang.
“Masa episod pertama, macam kelam kabut sikit. Bila dah masuk episod seterusnya, barulah saya dapat uruskan dengan baik. Program ini lagi susah daripada pertandingan nyanyian.
“Apa pun tak rugi saya sertai Juara Agrotek kerana banyak ilmu pertanian yang dapat dipelajari.
Misalnya, kita selalu buang daun nanas tapi sebenarnya daun itu amat berharga sebab boleh buat benang. Harga serat benang tu, 100gram bersamaan dengan RM100,” akuinya yang turut mengusahakan Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa di Bukit Antarabangsa, sejak 12 Julai tahun lalu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang