Program realiti pertama dalam talian, COF Lockstar dibarisi juri popular
PENULARAN virus pandemik Covid-19 dan keterbatasan industri seni untuk menganjurkan program pencarian bakat memberi idea kepada syarikat rakaman COF Music untuk menganjurkan pertandingan nyanyian secara dalam talian.
Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, COF Lockstar menyaksikan program realiti pertama secara dalam talian yang bermatlamat melahirkan penyanyi baharu yang bersandarkan pada bakat dan kualiti.
"Ini adalah program realiti pertama yang sepenuhnya dibuat secara virtual atau dalam talian. Sudah tentu memberikan cabaran tersendiri pada pasukan produksi terutama dari segi nak mencari kualiti peserta.
“Ada lebih 2,000 video yang dihantar di mana semua dinilai terlebih dahulu oleh juri profesional sebelum memilih 12 yang terbaik," katanya ketika ditemui pada sesi sidang media COF Lockstar yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Lebih istimewa lagi COF Lockstar turut menampilkan lima penyanyi terkenal tanah air selaku juri profesional iaitu Hazama, Akim Ahmad, Black Hanifah, Tomok dan Altimet, manakala Ajak dipilih selaku hos program dan komposer Pown Hasril pula bertindak selaku Pengarah Music.
Mengulas mengenai pemilihan juri-juri yang akan mengadili pertandingan itu, Aman menyatakan dia ada alasan tersendiri kenapa memilih semua penyanyi lelaki.
“Bagi menghangatkan lagi program ini, kami memilih Ajak selaku hos dan lima penyanyi terkenal menjadi juri profesional. Lagi pula Hazama, Akim, Black, Tomok dan Altimet pernah menjadi juri untuk program realiti. Kebetulan kita memang mencari bakat baharu, jadi pemilihan mereka ini sangat sesuai.
“Pada saya tidak ada istilah kenapa semua juri lelaki dan tak ada perempuan, yang penting mereka profesional. Mereka juga bepengalaman, semuanya pun hebat. Itu yang pada saya sesuatu yang menarik. Masing-masing ada cita rasa tersendiri,” katanya.
Hadiah pemenang adalah tempat pertama bernilai RM50,000, merangkumi hadiah wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.
Tempat kedua akan membawa pulang RM5,555 beserta trofi dan pemenang tempat ketiga bakal meraih RM3,333 beserta trofi.
Sementara itu turut disediakan dua kategori iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.
Persembahan mingguan ditayangkan secara Live Stream bermula pada 28 Ogos, jam 9 malam di YouTube & Facebook COF Music.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang