BIARPUN baru kali pertama berlakon teater, penampilan Puteri Sarah menerusi pementasan naskhah komedi, Maduku Terpaling Kalut yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu mendapat pujian ramai.

Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang memegang watak sebagai Bibi, isteri yang dimadukan suami dalam diam, ternyata memberikan lakonan berkesan dan menghiburkan.

Mengakui bukan mudah berlakon secara langsung di depan pentonton, wanita berusia 37 tahun itu, berkata, sesi latihan selama sebulan banyak membantunya.

“Saya banyak berlakon drama dan ini adalah pengalaman pertama beraksi di pentas teater. Saya tahu bukan mudah, tetapi inilah masanya untuk cuba sesuatu dan tunjukkan kemampuan lakonan kepada semua.

“Sesi latihan sangat membantu saya membina keyakinan dan memperbaiki lakonan. Selama sebulan kami berlatih dari jam 4 petang sehingga 10 malam setiap hari.

“Jadi bila tengok sambutan luar biasa penonton sepanjang pementasan berlangsung, saya benar-benar rasa dihargai dan puas kerana sebelum ini tidak pernah mendapat reaksi serta pujian sebegitu dalam lakonan,” ujarnya.

Bagaimanapun Sarah yang ditemui pada pementasan teater tersebut di Nero Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Sabtu lalu mendedahkan dia hampir menarik diri pada saat-saat akhir.

“Saya memang teruja dan bersemangat sepanjang sesi latihan di Matic dan Aswara. Namun apabila masuk ke pentas sebenar, saya mula rasa gementar dan tiba-tiba hilang arah sehingga nak tarik diri.

“Jika tengok persembahan pada malam pertama, memang nampak lakonan saya agak kaku kerana gementar, apatah lagi ketika itu keluarga mertua turut hadir.

“Namun selepas mendapat energi positif daripada penonton, gementar mula hilang dan saya berjaya berikan seratus peratus tumpuan kepada pementasan,” katanya yang mahu kembali ke pentas teater jika diberikan peluang.

Uruskan anak

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dirinya bertuah mendapat sokongan padu daripada keluarga termasuk ibu dan bapa mertuanya.

Iklan

“Hubungan dengan mertua sangat baik dan mereka sentiasa memberikan semangat dan sokongan dalam apa sahaja yang saya lakukan. Malah mereka juga turut memberi pandangan dan nasihat berkaitan kerjaya.

“Saya bersyukur sangat ada sokongan kuat di belakang. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu apa yang saya lakukan,” akuinya.

Sarah bahagia uruskan sendiri anak biarpun sibuk dengan aktiviti seni.

Dalam pada itu, Sarah bakal muncul dengan beberapa buah drama baharu yang akan menemui penonton tidak lama lagi. Antaranya Suri Hati yang akan disiarkan di TV3 dan Melastik Ke Hatimu 2 untuk Astro.

“Selepas kembali aktif, memang banyak tawaran datang sehingga jadual kerja sentiasa penuh saban hari.

Iklan

“Bagaimanapun dalam kesibukan itu tanggungjawab sebagai ibu tetap berjalan seiring. Sebelum keluar bekerja, saya pastikan segala keperluan anak diuruskan terlebih dahulu termasuk menghantar mereka ke sekolah.

“Meski sedikit penat, saya bahagia dapat uruskan sendiri anak-anak dan bersama mereka biarpun sibuk dengan kerja,” katanya.

(FOTO: INSTAGRAM PUTERI SARAH)