PELAKON Puteri Sarah Liyana memaklumkan dia didapati positif virus Covid-19 selepas mengalami gejala hilang deria bau dan rasa sejak Selasa.

Jelas Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 36, dia sudah dua kali membuat ujian calitan (swab test) setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat kategori C.

Bagaimanapun hanya selepas mempunyai simptom hilang deria rasa dan bau serta menjalani swab test kali ketiga, baharulah keputusan virus itu menjadi positif.

“Sebaik-baik kita menjaga SOP (prosuder operasi standard) dan tidak bercampur orang, akhirnya kecundang jua.

“Saya berada dalam kategori C (kontak rapat kepada kategori B yang positif) sebelum ini disebabkan shooting dan dua kali buat swab test, keputusannya negatif.

“Bagaimanapun semalam (Selasa) saya buat lagi swab test sebab tak ada deria rasa bila makan dan tak ada deria bau (baru berlaku semalam), pergi buat swab test dan dapat tahun saya positif Covid-19.

Iklan

“Sebelum ini kuarantin tak ada simptom apa-apa pun. Saya sihat tetapi terkena juga,” ujarnya.

Perkongsian yang dibuat Puteri Sarah menerusi akaun Instagram miliknya.

Isteri kepada pengarah prolifik, Syamsul Yusof itu juga turut meminta maaf dan meminta sesiapa sahaja yang bertemunya pada sejak 10 Mei lalu untuk menjalani ujian juga.

Iklan

“Minta maaf kepada keluarga saya, suami, anak-anak. Doakan kami semua ya, jangan keluar rumah kalau tak ada apa-apa nak buat. Jaga diri semua,” pesannya.

Sebelum ini, beberapa pelakon seperti Sweet Qismina, Farisha Irwayu, Nora Danish, Tiz Zaqyah, Reen Rahim dan Nabila Huda turut mengakui mereka positif virus pandemik itu.