Putus Cinta, Daiyan Trisha Penat

DAIYAN TRISHA
DAIYAN TRISHA
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 yang dilalui hampir dua tahun ini tentunya memenatkan untuk semua orang, tidak kira siapa kita. Apatah lagi jika ia turut terbeban dengan rasa kecewa dan patah hati disebabkan putus cinta dengan seseorang yang amat dicintai.

Itulah yang diekspresikan penyanyi Daiyan Trisha, menerusi single terbaharunya yang berjudul Penat.

Menurut Daiyan, 28, lagu ciptaan sepenuhnya oleh dia sendiri dengan sentuhan bunyi daripada Kuizz Shah itu menceritakan tentang kisah putus cinta yang dilaluinya lebih sebulan lalu.

“Bila tengok banyak perkongsian tentang ‘penat’ yang diluahkan rakan-rakan di media sosial, saya rasa terkesan kerana ketika itu turut berada dalam keadaan emosi tidak stabil.

“Saya baru sahaja putus cinta dan berdepan dengan emosi berat. Bukan disebabkan sakit atau sedih, tetapi terlalu penat dengan apa dilalui sehingga emosi itu diterjemahkan dalam bentuk karya,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media single Penat yang diadakan secara virtual baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Penat memberi makna cukup mendalam buat dirinya kerana ia turut membawa emosi jujur yang dirasai ketika menulis lagu yang mengambil masa satu jam untuk dihasilkan itu.

“Apabila kita dihadapkan dengan emosi yang terlampau dalam dan berat, kita hanya mampu bersendiri dan menangis sambil berbisik, aku penat.

“Bukan sahaja dalam soal putus cinta, tetapi juga merangkumi kepenatan kita terhadap perkara-perkara lain dalam kehidupan sehingga kita rasa begitu beremosi.

“Saya percaya ramai orang merasakan perkara sama dan hubungkan dengan apa yang mereka lalui. Sebab itulah teaser lagu ini mendapat maklum balas baik daripada peminat dan mahukan lagu ini segera rilis,” katanya yang pertama kali tampil dengan single balada.

Bercerita lebih lanjut tentang proses rakaman lagu tersebut, Daiyan berkata, semuanya dilakukan dari rumah dan secara virtual bersama penerbitnya, Kuizz.

“Alhamdulillah pada era teknologi ini, kita dapat lakukan proses rakaman di rumah sahaja tanpa perlu menunggu PKP tamat untuk ke studio.

“Kami melakukan perancangan dan perbincangan teliti, selain menggunakan peralatan sama untuk selarikan frekuensi untuk merakamkan lagu ini,” katanya.

Lagu Penat kini boleh didapati di kesemua pelantar penstriman digital bermula 20 Ogos lalu. Manakala video lirik rasminya pula boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

Dalam pada itu, Daiyan mengakui sering menulis untuk meluahkan emosinya. Malah anak kepada novelis tekenal, Samsiah Mohd Nor, itu juga mempunyai satu akaun Instagram khas yang memuatkan kata-kata puitis tulisannya.

“Memang ada perancangan untuk membukukan tulisan-tulisan itu, tapi mungkin mengambil sedikit masa.

“Saya mahu pastikan apabila keluarkan buku itu nanti, isinya cukup dan memberi kesan kepada mereka yang membaca.

“Jadi saya masih dalam proses menulis lagi untuk memastikan semuanya cantik dan teratur apabila ia dibukukan,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan lain, akui Daiyan, dia kini sedang menunggu masa untuk menjayakan penggambaran drama tertangguh sebelum ini.

“Saya sedang menunggu panggilan menjayakan penggambaran drama yang tertangguh sebelum ini. Harap ada perkembangan dalam masa terdekat.

“Selain itu saya sibuk menyediakan konten untuk beberapa jenama yang menjalinkan kerjasama dengan saya. Cuma bezanya kerja ini dilakukan dari rumah dan tidak perlu ke mana-mana,” katanya.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca