PERSONALITI dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor memberi peluang kepada orang awam untuk melaksanakan ibadah korban dengan mudah.

Program Qurban Kasih Neelofa Aidiladha, yang dikelolakan di bawah pertubuhan naungannya, Pertubuhan Kasih Neelofa, merupakan program perdana anjuran pertubuhan tersebut.

Menurut Neelofa, 31, sambutan yang diterima sejak Qurban Kasih Neelofa Aidiladha dibuka kepada umum begitu menggalakkan.

“Sejak diumumkan baru-baru ini, sambutan yang diterima daripada orang awam begitu memberangsangkan.

“Mungkin disebabkan norma baharu sempena PKPP ini yang memerlukan kita untuk sentiasa menjaga jarak dan duduk di rumah, kebanyakan daripada mereka mengambil peluang ini untuk melaksanakan ibadah menerusi program Qurban Kasih Neelofa Aidiladha ini,” kongsi Neelofa.

NEELOFA
Bukan omong kosong, sebaliknya Neelofa menunaikan janji untuk menganjurkan program ibadah korban yang memudahkan orang ramai. Manakala gambar kiri, Neelofa bersama Ustaz Amar (berdiri kiri) dan PU Riz.

Menerusi program tersebut, satu bahagian lembu dikenakan bayaran sebanyak RM750. Urusan pemilihan lembu korban sehinggalah penyembelihan dan pengagihan daging kepada golongan asnaf dan fakir diuruskan sendiri oleh pihak pertubuhan.

Sementara itu, Neelofa menambah, pihak pertubuhan akan menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta, bagi merancakkan program Qurban Kasih Neelofa Aidiladha berkenaan.

“Kami ingin memperluaskan program ini. Justeru, kerjasama dengan badan-badan NGO dan bukan kerajaan lebih memudahkan pihak kami bagi proses pengagihan dan mengenal pasti individu yang memerlukan di setiap negeri,” jelasnya.

Bagi yang ingin menyertai program Qurban Kasih Neelofa Aidiladha, pendaftaran masih dibuka sehingga 23 Julai 2020 iaitu seminggu sebelum ketibaan Hari Raya Haji dan boleh menghantar e-mel kepada kasihneelofa@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Neelofa dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, beliau menubuhkan Pertubuhan Kasih Neelofa sebagai platform terbaik untuknya terlibat dengan masyarakat secara total.

Dibangunkan untuk membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten serta menyeluruh, pertubuhan tersebut merangkumi tiga teras utama iaitu keagamaan, kemasyarakatan dan bantuan untuk golongan kurang bernasib baik.

Program baharu

Iklan

Sementara itu berkongsi perkembangan terbaharunya, Neelofa berkata, dia akan tampil dengan sebuah program baharu bersama Astro iaitu Next To Neelofa yang akan mula bersiaran pada 23 Julai ini.

Program tersebut akan menyaksikan Neelofa menemubual figura terkenal dalam pelbagai bidang.

“Antara yang menjadi tetamu undangan dalam program tersebut adalah Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Rizalman dan ramai lagi.

Iklan

“Selain itu saya juga ada merancang untuk membuka butik Nealofar di beberapa pusat membeli belah dan mengeluarkan koleksi ready to wear.

“Jadi buat masa ini selain memberi fokus pada perniagaan, saya sibuk dengan pertubuhan dan juga program saya sendiri,” ujarnya.

https://www.instagram.com/p/CCWCH5YnBKS/?utm_source=ig_web_copy_link