BIARPUN negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, namun keadaan semasa yang masih mencabar menuntut mereka yang terbabit dalam pelbagai bidang pekerjaan untuk terus berusaha dan menjadi  lebih kreatif.

Begitu juga yang dilalui dan dirasai oleh pasukan kerja Radio ZAYAN.

Pengurus Kandungannya, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, walaupun Covid-19 sudah dua tahun melanda negara, namun pihaknya terus mengambil langkah berhati-hati.

Pengurus Kandungannya, Wan Syahrul Amry Wan Mansor
Pengurus Kandungan Radio ZAYAN, Wan Syahrul Amry Wan Mansor

“ZAYAN terus mengambil langkah berhati-hati dan jika keadaan memerlukan, penyampai akan bersiaran dari rumah dan cabaran yang menanti adalah untuk memantapkan persembahan dengan cara yang lebih kreatif.

“Kalau bersiaran dari rumah, pengisian mestilah lebih terkini, padat dengan perkembangan mengenai isu semasa yang dapat membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19,” ujarnya.

Justeru, bertepatan dengan konsep Islamik yang menjadi tunjang utama ZAYAN dalam arena penyiaran negara, radio itu membawa pendekatan mempromosikan cara hidup masyarakat Islam yang terkini dan kotemporari.

Katanya, pihaknya menetapkan bahawa kandungan ZAYAN mestilah boleh dijadikan inspirasi kepada pendengar sasaran berusia dari 18 hingga 35 tahun.

“Kapsul nasihat disertakan hadis, sirah dan doa dengan selingan lagu nasyid yang bukan saja menghiburkan tetapi memberi manfaat kepada pendengar terutama pada situasi hari ini di mana masyarakat yang terkesan sangat memerlukan kata-kata semangat, nasihat dan panduan.

“Sejak ZAYAN ditubuhkan pada 2 Oktober 2017, kelebihan ZAYAN ialah pada ‘DNA’nya yang tidak sama dengan radio lain.

“Identiti radio ini yang mahu mendekati golongan muda menampilkan konsep persembahan lebih segar, pengisian bersifat kontemporari dan akan terus mengekalkan keunikan yang ada.

“Kandungan ZAYAN lebih kasual, bersahaja dan santai serta bersesuaian dengan gaya hidup muslim.  Meskipun informasi Islamik tetapi ia disampaikan dengan cara yang lebih ringan agar mudah menyerap ke jiwa pendengar.

“Alhamdulillah, selepas hampir lima tahun bersiaran, sambutan pendengar terhadap radio ZAYAN menunjukkan peningkatan yang ketara,” jelasnya.

Cabaran

Bercakap mengenai cabaran, Wan Syahrul berkata, bagi mengekalkan keunikan ZAYAN, pasukannya terpaksa bekerja keras berbanding saluran komersial lain, sentiasa melakukan kajian dan peka kepada keperluan pendengar.

“Kami tidak mahu kandungan ZAYAN kelihatan klise. Ia mestilah terkini  kerana kami mahu mereka yang tercari-cari aplikasi kandungan Islam akan memilih ZAYAN.

“Pada awal tahun ini juga dengan mengambil pandangan dan gabungan idea daripada  JAKIM ( Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Munsyid Malaysia, rakan selebriti dan ustaz-ustaz, ZAYAN menganjurkan program USRAH ZAYAN #jomsolat sambil solat Maghrib dan Isyak berjemaah di dataran MaTiC (Pusat Pelancongan Malaysia).

Iklan

“Kami mahu menjadi penentu arah aliran yang Islam itu indah dan boleh bersolat di mana sahaja dengan syarat tetap mengikut hukum syarak. Program itu juga adalah platform berdakwah secara santai sambil meraikan semua pihak,” katanya.

Program Ramadan

Bahkan sepanjang Ramadan ini, ZAYAN mengadakan beberapa program seperti Satu Hari Satu Surah Bersama Ustaz Mohd Gunawan Che Abd Aziz dan Mahir Bahasa Arab melalui al-Quran bersama Ustaz Taufik Yusof.

Kedua-dua program khas itu disisipkan dalam segmen ZAYAN Salam Bros.

Menerusi slot ZAYAN Salam Sis pula diselitkan Tadabbur Al-Quran. Pada sebelah malam pula, dari jam 10 malam hingga 1 pagi adalah topik perbincangan berkenaan Ramadan dan Salam Sahur ZAYAN.

Bagi pengisian platform digital ZAYAN, diadakan pencarian menerusi Instagram iaitu mencari ZAYAN Next Top Bilal di mana lima bilal terbaik akan merakamkan azan yang bakal ke udara di saluran radio ZAYAN.

Iklan

“Pada 22 April pula, akan diadakan majlis berbuka puasa di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) yang disertai penyampai ZAYAN, pendakwah yang juga penyampai hujung ZAYAN iaitu Ustaz Ashraf Suarin dan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Aktiviti lain ialah sumbangan Al-Quran kepada orang yang datang ke bazar Ramadan Putrajaya yang akan diberikan secara random, tajaan Masjid Putrajaya.

“Juga diadakan Rakaman Tawarikh Talk bersama ustaz dan ustazah jemputan,” kata Wan Syahrul lagi.

Baru- baru ini empat penyampai ZAYAN iaitu Asmawi Ani, Anas Tahir  Muhammad Tajdid Hadhari Romli dan Khairi Hazwan Muhammad Asri telah merakamkan takbir Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Rakaman itu akan disiarkan pada 1 Syawal di plaftom digital ZAYAN.