LEBIH 16 tahun membina nama dan pengaruh dalam indusri seni, pelakon Fasha Sandha mengakui mempunyai resipi sendiri untuk terus kekal bertahan sehingga ke hari ini.

Selain bakat hebat yang dimiliki, pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, 38, mengakui cukup menitik beratkan soal disiplin diri, selain kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam kerjayanya.

Nilai tersebut juga menjadikan diri beliau cukup disenangi ramai dan sering dijadikan contoh sebagai artis yang berdisiplin tinggi dan menjadi ikutan bintang-bintang baharu.

Menurut Fasha, prinsip tersebut menjadi pegangannya sejak awal menceburi bidang seni sehinggalah ke hari ini. Beliau percaya dengan menjaga disiplin diri sebaiknya, seseorang itu akan berjaya dalam apa sahaja yang dilakukan.

“Alhamdulillah selama lebih 16 tahun bergelar pelakon, tidak pernah sekali pun saya lambat tiba di lokasi penggambaran atau sebarang urusan berkaitan kerja. Selalunya saya akan tiba setengah jam lebih awal.

“Mungkin ia didorong pengalaman ketika saya bergelar seorang model dulu, di mana kebanyakan jadual kerja kami selalunya bermula sekitar jam 4 atau 5 pagi.

“Perkara itu menjadi kebiasaan saya sehingga ke hari ini dan saya akui sangat suka keluar bekerja pada awal pagi. Biarpun tidur lewat, namun saya tetap akan cuba untuk bangun awal kerana disiplin itu sudah terbentuk dalam diri,” ujarnya.

Melihat kepada pelaksanaan prinsip yang dipegang itu, tidak hairanlah ramai penerbit dan pengarah tetap memilih Fasha untuk bekerjasama dalam produksi mereka, sekali gus menjadikan nama beliau terus relevan sehingga kini.

Terbaru, Fasha selesai menjalani penggambaran drama bersiri Khilaf Asmara dan kini sibuk di lokasi drama 80 episod, Dendam Seorang Isteri.

“Saya tidak pasti kenapa masih menjadi pilihan sehingga kini, namun saya sentiasa percaya disiplin diri dan kesungguhan dalam bekerja membuatkan saya masih ada di sini.

“Perkara sama saya pesan kepada adik saya, Elisya Sandha dan pelakon-pelakon baharu agar sentiasa menjaga disiplin diri. Ini kerana ia sangat penting dan akan mendorong kita bekerja lebih keras mengejar impian.

“Saya bersyukur rezeki sangat murah selepas Perintah Kawalan Pergerakan berakhir di mana jadual kerja penuh sehingga Ogos depan,” katanya.

Tidak boros berbelanja

Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta yang juga pengguna setia produk kesihatan Gebu Glow yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

Mengulas penglibatan dengan jenama tersebut, Fasha mengakui mengambil pendekatan sama sebagaimana beliau memilih tawaran dalam lakonan.

Bukan wang ringgit yang menjadi perkiraan utama, sebaliknya kualiti dan misi yang dibawa oleh jenama tersebut selari dengan prinsip yang menjadi pegangannya.

Iklan

“Saya bersyukur apabila mereka memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan saya dan anggap ia sebagai rezeki buat keluarga.

“Lebih penting daripada itu, saya sebenarnya tersentuh apabila pengasas produk ini mengajak saya berkongsi misi membantu ibu-ibu tunggal dan mereka yang terputus rezeki untuk menjana pendapatan selepas melalui fasa panjang pandemik Covid-19.

“Saya mahu berkongsi rezeki dengan lebih ramai orang dan membantu mereka yang berada dalam kesusahan dengan cara saya sendiri,” katanya.

Fasha bersama pemilik jenama Wawawein Beaute, Wawa (kiri) dan Awein pada majlis pelancaran dan memperkenalkan dirinya sebagai duta produk Gebu Glow baru-baru ini.

Bercerita tentang diri beliau menghadapi era pandemik yang serba mencabar ini, Fasha mengakui bernasib baik kerana mempunyai wang simpanan sendiri. Amalan menyimpan itu telah dipraktikkan sejak beliau berusia 18 tahun, sekali gus mengelakkan dirinya boros berbelanja.

Iklan

“Saya memang suka menyimpan dan perkara itu telah saya praktikkan sejak mula bekerja. Saya tidak akan berbelanja secara berlebih-lebihan untuk perkara yang tidak penting seperti membeli beg tangan dan sebagainya.

“Selalunya saya hanya mengunakan 30 peratus daripada pendapatan saya untuk perbelanjaan dan selebihnya untuk simpanan. Perkara itu menjadi kebiasaan saya sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah amalan itu banyak membantu saya ketika keadaan memerlukan termasuk pada era pandemik melanda,” katanya.

 

(FOTO: Wawawein Beaute)