PELAKON dan pengarah Kenji Sawahi sering di salah anggap sebagai saudara baharu atau mualaf. Kini pada usia 61 tahun, pelakon Ringgit Kasorrga dan Maria Mariana itu berjinak-jinak mengenali Islam.

Pemilik nama sebenar Lim Boon Wah itu mengakui masih dalam proses mempelajari tentang Islam dengan kawan baiknya sejak tujuh tahun lalu.

Rakan dikenali sebagai Pak Haji yang merupakan seorang ustaz menjadi tempatnya bertanya perkara yang tidak diketahui berkaitan Islam.

“Saya mahu cari jalan yang betul-betul membuka pintu untuk masuk Islam. Saya tidak mahu jika tidak benar-benar faham, saya keluar balik daripada Islam, tak eloklah kan,” katanya

Aktor senior itu berkata, dirinya sudah biasa dikelilingi dengan orang Melayu sejak kecil mendorong keinginan untuk mengetahui lanjut tentang Islam.

“Saya membesar dengan datuk dan nenek di Kangar, Perlis. Di kampung itu hanya ada satu sahaja rumah orang Cina iaitu rumah datuk dan nenek saya.

“Di kawasan itu ada ramai penduduk berketurunan Siam dan Melayu. Jadi, sejak dari kecil sudah terbiasa dikelilingi dengan Siam dan Melayu.

Iklan

“Malah, di rumah kami tidak dibenarkan untuk makan khinzir atau bawa minuman keras. Kalau nak makan khinzir kena pergi luar bandar. Jadi, saya sudah mendapat didikan begitu,” katanya.

Iklan

Sekadar makluman, Kenji mula berlakon pada tahun 1986 dengan memegang watak utama dalam drama 26 episod berjudul Mata Kristal manakala drama Mimpi Ngeri lakonan Alice Voon yang ditayangkan pada 1989 ialah drama arahan pertamanya.