TANDA pagar #RakyatJagaRakyat kini menjadi trending di Twitter gara-gara kes penularan dan jangkitan Covid-19 semakin menjadi-jadi sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di Sabah baru-baru ini.

Tanda pagar tersebut dilihat sebagai luahan hati orang ramai yang terpendam.

Warganet malahan selebriti tempatan juga kini secara terang-terangan menzahirkan kekecewaan mereka dengan penggunaan hashtag tersebut.

Pelakon popular, Sharifah Amani juga turut berkesempatan memuat naik ciapan di laman twitter miliknya beserta dengan sekeping fotonya semasa ditemu bual oleh media yang mana ketika itu beliau membahas isu “rakyat mempunyai kuasa”.

“Ini gambar lama tapi saya tetap percaya end up macam mana pun #RakyatJagaRakyat.

“Jadi, alang-alang dah marah tu jangan lupa daftar untuk mengundi pada siapa yang belum mendaftar,” tulisnya.

Sementar itu, ada juga warganet yang menggunakan tanda pagar tersebut untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak mensyaratkan kuarantin 14 hari kepada semua pengembara yang baru tiba dari Sabah sekiranya hasil saringan Covid-19 kali pertama adalah negatif.

Sedangkan rakyat biasa yang pulang dari luar negara selama ini perlu menjalani kuarantin 14 hari walaupun saringan pertama adalah negatif kerana terdapat banyak kes yang mana keputusan adalah positif semasa saringan kedua pada hari ke-13 dijalankan.

Iklan

Baru-baru ini juga Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu pemberita di Kota Kinabalu, individu yang pulang ke semenanjung dari Sabah tidak diwajibkan kuarantin 14 hari sekiranya disahkan negatif Covid-19 semasa menjalani ujian saringan di lapangan terbang.

Untuk rekod, Sabah terus mencatatkan kes harian positif Covid-19 tertinggi dengan 98 kes daripada 115 kes yang direkodkan di Malaysia.

Iklan

Akibatnya kini kerajaan juga telah mengeluarkan arahan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna bermula tengah malam tadi sehingga 12 Oktober depan.

Sama-sama kita doakan agar kes positif Covid-19 kembali terkawal dan wabak pembunuh itu juga mampu lenyap dalam dunia satu hari nanti.