RAMADAN tahun ini bakal menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain.

Masakan tidak, Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain bersama pasukan Syria Care akan berlepas ke Turki, Syria dan Lubnan pada 10 April depan dan berada di sana selama lapan hari bagi mengagihkan bantuan makanan kepada pelarian sepanjang bulan puasa.

Teruja dan tidak sabar untuk mendekati rakyat Syria di beberapa kem pelarian, penyanyi yang cukup hits dengan lagu Lelaki Ini dan Sedetik Lebih itu mengakui mengakui tidak pernah terfikir untuk menyertai misi kemanusiaan seumpama ini.

Bagaimanapun lamaran daripada pihak Syria Care untuk menyertai Misi Kemanusiaan kali ke-13 amat sukar untuk ditolak.

“Saya tidak pernah terfikir langsung untuk menyertai misi kemanusiaan seumpama ini walaupun sering melihat video kesengsaraan rakyat Syria di sana.

“Kebiasaannya saya hanya mampu menangis dan memberikan sedikit sumbangan. Tetapi pihak Syria Care ajak saya bekerjasama, saya rasa tak mampu menolaknya.

“Kita ini apabila sudah puas bekerja untuk diri dan keluarga tapi kadang-kadang kita rasa terpanggil, adakah sudah cukup kita membantu dan memberi kesenangan kepada orang lain.

ANUAR-SYRIA CARE
Sesi menandatangani Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 bersama Anuar Zain. Dari kiri : Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi; Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki; dan Ahli Lembaga Pengarah Tadabbur Center & Dekan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh, Dr Mohd Azrul Azlen Abd Hamid.

“Dalam masa sama, saya teruja juga untuk berpuasa di sana. Difahamkan tempoh berpuasa di sana selama 17 jam, lebih lama daripada kita di Malaysia.

“Apa pun saya harap, segala urusan saya bersama Syria Care berjalan dengan lancar pergi dan pulang,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Syria Care di Shah Alam pada Selasa.

Sebak

Cukup sebak selepas menonton video kanak-kanak di Syria ketika musim sejuk tanpa memakai baju tebal dan stokin, lelaki berusia 52 tahun itu berkata, beliau secara tidak langsung terkenang anak saudara.

“Kita masa lihat ramai kanak-kanak, warga emas jadi mangsa banjir pun dah cukup sedih, inikan pula jadi mangsa konflik kemanusiaan.

“Bila lihat video kesukaran kehidupan saudara-saudara kita di sana, kerana keadaan hidup mereka di sana sangat susah bukan sahaja susah makanan, tempat tinggal juga sukar dari segi emosi, saya cukup tersentuh.

Iklan

“Saya ingat video kanak-kanak di bawah 10 darjah Celsius masa itu tapi kanak-kanak itu langsung tidak memakai stokin.

“Walhal anak-anak kita di sini ada kehidupan yang cukup selesa dan sepatutnya mereka juga berhak dapat kehidupan yang baik,” jelasnya.

Bukan hanya mahu menjadi salah seorang ahli misi kemanusiaan, Anuar dalam masa yang sama mahu memberi semangat kepada para pelarian di Lubnan untuk terus kuat meskipun ujian yang dihadapi sangat getir.

Bahkan beliau akan memastikan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyantuni pelarian di sana.

Iklan

“Saya tidak pasti sama ada akan menangis, selalunya saya berfikiran positif kita nampak menangis kelihatan lemah.

“Saya ingin memberikan sokongan emosi tidak mahu nampak lemah biar orang nampak kita dalam keadaan begitu profesional.

“Dalam masa sama, besar juga hasrat saya untuk melihat akan ada lebih ramai pihak tampil bersama-sama memberi sumbangan kepada Syria Care dalam misi kami mengumpul dana sebanyak RM225,000 bagi membantu lebih kurang 1,000 keluarga di negara bergolak berkenaan,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyumbang khususnya menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 boleh berbuat demikian melalui pautan khas Anuar Zain iaitu https://donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood