BIARPUN sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni, dia tidak pernah merasa penat untuk terus mengiburkan orang ramai yang menghargai bakat nyanyiannya.

Meneruskan perjalanan seninya dengan penuh rasa cinta, penyanyi popular era 1980an, Ramlah Ram terharu apabila masih dihargai peminat seni suara tanah air, meski penyanyi baharu muncul silih berganti.

Bagi memastikan dirinya terus relevan dalam industri, pelantun lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu sentiasa mengadaptasikan dirinya dengan arus muzik semasa, tanpa meninggalkan identiti dirinya.

“Alhamdulillah tahun ini genaplah 36 tahun pembabitan saya dalam industri muzik tanah air.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka mampu bertahan sejauh ini dan melewati pelbagai era dari zaman piring hitam, kaset, cakera padat (CD) sehinggalah kepada teknologi strim hari ini.

“Apa yang lebih buat saya terharu, peminat-peminat masih setia menyokong, selain penerimaan daripada generasi muda yang turut mendengar lagu nyanyian saya,” ujarnya kepada SinarPlus.

Bagi menyatakan penghargaan terhadap sokongan peminat, bekas juara Bintang RTM pada tahun 1985 itu, bakal tampil dengan sebuah persembahan istimewa sempena 36 tahun keberadaannya dalam bidang seni.

Konsert Minggu Ini.. In Person terbitan RTM itu juga dianggap sebagai pengubat rindu buat peminat yang lama menantikan kemunculannya membuat persembahan di pentas besar.

“Kalau ikutkan, konsert itu sepatutnya berlangsung pada bulan Februari, di mana kebetulan ia merupakan bulan kelahiran saya dan bulan di mana perjalanan seni saya bermula selepas dinobatkan sebagai Bintang RTM.

“Bagaimanapun ternyata rezeki untuk persembahan itu tidak berlaku dalam bulan Februari, sebaliknya pada awal Mac nanti.

“Apa pun, saya bersyukur dan jujurnya tidak sabar menantikan saat itu untuk menghiburkan peminat, sekali gus meraikan 36 tahun saya dalam industri,” katanya.

Tidak hanya itu, penyanyi kelahiran Muar, Johor itu juga berkongsi perancangannya untuk menghasilkan single baharu tidak lama lagi, selain tampil dengan sebuah lagu raya.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan tampil dengan single baharu tidak lama lagi, termasuk perancangan merakamkan sebuah lagu raya pada tahun ini.

“Kalau boleh saya mahu tampil dengan dua buah single baharu setiap tahun, agar dapat sentiasa kongsikan karya dengan peminat.

“Maklumlah zaman sekarang orang dah tak buat album, jadi penghasilan single inilah yang akan memastikan kita terus aktif dalam bidang nyanyian,” ujarnya yang kali terakhir muncul dengan album penuh berjudul Aspirasi Hati pada tahun 2012.

Belum terbuka hati sertai GV

Ditanya tentang permintaan para peminat yang mengharapkan dia turut menyertai program Gegar Vaganza (GV) sebagaimana dilakukan rakan-rakan seangkatannya sebelum ini, Ramlah ada pandangannya yang tersendiri.

“Saya sangat menghargai permintaan dan harapan yang diletakkan peminat pada saya untuk menyertai GV.

Iklan

“Bagaimanapun, jujurnya hati saya belum lagi terbuka untuk menyertai program tersebut buat masa ini. Esok-esok saya tidak tahu, tetapi buat ketika ini, itulah keputusan saya.

“Setiap orang ada ada misi dan tujuan mereka tersendiri menyertai GV dan saya juga seharusnya begitu.

“Kalau saya sertai GV, biarlah ia dari hati saya seratus peratus dan bukanlah disebabkan orang yang suruh dan sebagainya,” akuinya.

Dalam pada itu, Ramlah baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-56 tahun pada 19 Februari lalu, meluahkan rasa syukur dikelilingi rakan-rakan dan peminat yang sentiasa mengambil berat terhadap dirinya.

Iklan

Mengharapkan pandemik Covid-19 segera berakhir, Ramlah menyeru orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap pergerakan di luar rumah.

“Alhamdulillah, syukur masih ada rakan-rakan yang sudi mengambil berat, membuat kejutan di hari jadi dan sebagainya.

“Dulu kita boleh bebas berjumpa kawan-kawan untuk melakukan aktiviti bersama termasuklah mengadakan majlis atau hadir menonton persembahan, tapi sekarang tidak lagi.

“Malah dari segi pendapatan juga ramai yang terkesan impak termasuk penggiat muzik dan penyanyi yang tidak dapat mengadakan persembahan sebagaimana lazimnya.

“Jadi jika kita ingin tamatkan segera situasi sebegini, sama-sama kita jaga diri dan patuhi SOP,” akhirinya.