Rampas Cintaku raih lebih 100 Juta tontonan digital
DRAMA original tempatan pertama keluaran peneraju penstriman Asia, iQIYI iaitu Rampas Cintaku melabuhkan tirai musim tayangannya dengan kejayaan memberangsangkan apabila meraih lebih 100 juta tontonan digital.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan naskhah tersebut sebagai kandungan tempatan teratas yang sanggup dibayar oleh rakyat Malaysia.
Berdasarkan laporan Asia Video Content Dynamics 2022, dari Januari hingga Julai 2022, Malaysia merekodkan sejumlah 2.4 bilion jam penstriman video.
Walaupun penggunaan OTT di Malaysia dipelopori kandungan Inggeris dan Korea sejak beberapa tahun lalu, iQIYI bagaimanapun melihat permintaan dan keutamaan yang semakin meningkat bagi kandungan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beberapa drama Melayu melakar kejayaan besar di platform penstriman ini termasuk Rampas Cintaku yang menempa nama sebagai drama Melayu paling berjaya.
Sepanjang 14 episod tayangannya, drama lakonan Fasha Sandha, Zarul Husin dan Afieq Shazwan itu secara konsisten mengungguli carta iQIYI Malaysia dalam kedudukan dua tempat teratas.
Rampas Cintaku juga trending di platform media sosial TikTok sepanjang tempoh tayangannya.
Mengulas mengenai kejayaan drama tersebut, Pengurus iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan.
“Kami sangat gembira apabila karya original tempatan dan Melayu pertama kami bermula dengan kukuh dan ia adalah di luar jangkaan.
“Kami juga melihat bahawa rakyat Malaysia sanggup membayar untuk menonton karya tempatan premium.
“Kadar tontonan yang sangat tinggi jelas menunjukkan keinginan yang kukuh terhadap kandungan tempatan dengan jalan penceritaan asli yang nyata dan berbeza,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang