MEMULAKAN kerjaya awalnya sebagai model dan selebriti media sosial, bintang baharu sedang meningkat naik, Shahrifah Rose terus melangkah ke depan apabila penglibatannya dalam bidang lakonan semakin diterima ramai.

Tidak mengambil masa lama, malah hanya dalam tempoh setahun, pemilik nama sebenar, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, memperoleh pelbagai peluang termasuk kepercayaan menjadi teraju utama beberapa drama popular.

Biarpun pada awalnya, lakonan bintang berusia 24 tahun itu dikatakan agak kaku dan mendapat kritikan hebat daripada warga maya, beliau sentiasa melihat perkara tersebut dengan pandangan positif dan berusaha memperbaiki kelemahan tersebut.

“Saya akui sebelum ini memang ada yang mengkritik lakonan saya, tetapi saya ambil ia sebagai teguran untuk memperbaiki diri.

“Pengalaman banyak mengajar saya untuk menjadi lebih baik. Setiap kali masuk set penggambaran, saya memperoleh pengalaman berbeza dan belajar banyak perkara baharu.

“Berbanding dahulu saya kini lebih yakin dengan lakonan, tetapi dalam masa sama masih tetap gementar setiap kali memulakan penggambaran kerana sedar diri masih banyak kekurangan,” ujarnya kepada SinarPlus.

Pandai membawa diri, Sharifah Rose atau lebih mesra disapa sebagai Rose bersyukur tidak berdepan pandangan skeptikal orang industri terhadap sesetengah pelakon baharu yang dikatakan lebih mengejar populariti berbanding mempamerkan hasil kerja berkualiti.

Beliau yang mula dikenali menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard itu mengakui serius merencana kerjaya seni dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap peluang diperoleh.

“Saya cuba membawa diri sebaiknya dalam industri. Sebagai orang baharu, saya sentiasa terbuka menerima teguran dan berusaha untuk buat yang terbaik.

“Alhamdulillah setakat ini saya dapat bekerja dengan orang-orang yang suka berkongsi ilmu dan banyak membantu ketika di set penggambaran. Kebanyakan pelakon senior yang saya temui sangat baik.

“Lebih penting pelakon baharu dan pelakon senior saling menghormati antara satu sama lain dan sama-sama membangunkan industri seni tanah air,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu bagaimanapun tidak menafikan perjalanan seninya yang baharu bermula ini turut berdepan dengan pelbagai gosip dan kontroversi.

Apatah lagi nama beliau sering terkait cinta lokasi dengan beberapa hero yang pernah digandingkan bersama dalam drama yang dibintangi.

Iklan

“Sejujurnya saya tidak pernah terjebak dengan cinta lokasi walaupun sering dikaitkan dengan hero-hero yang pernah digandingkan bersama.

“Mungkin peminat nampak kami serasi di skrin, lalu mahu ia juga berlaku di alam realiti. Hakikatnya kami semua berkawan baik, apatah lagi sebagai pelakon baharu saya kalau boleh mahu berkawan dengan semua orang.

“Saya terbuka dan anggap gosip sebagai lumrah bergelar anak seni. Cuma kadang-kadang risau jika perkara-perkara seperti itu mampu menghadirkan pandangan negatif orang terhadap saya,” katanya yang mengakui sering ‘dihujani’ mesej langsung daripada peminat di media sosial apabila sesuatu isu melibatkan nama beliau.

Jodoh

Bercerita tentang jodoh, Rose yang juga merupakan seorang usahawan menegaskan belum berfikir ke arah itu buat masa ini kerana mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya baik dalam bidang seni mahupun perniagaan.

Bagaimanapun jika tiba waktunya, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu memilih lelaki matang sebagai ciri utama yang dimahukan, selain cuba mengelakkan bercinta dengan mereka yang sealiran dalam bidang seni.

Iklan

“Buat masa ini saya berstatus single dan belum terfikir tentang perkara itu kerana terlalu sibuk dengan kerja.

“Saya tidak meletakkan target masa tertentu untuk menamatkan zaman solo, cuma buat masa ini fokus saya pada kerjaya. Saya mahu mahu explore banyak benda baik dalam kerjaya mahupun kehidupan.

“Apa-apa pun bila tiba masanya nanti, pasti saya akan bercakap juga tentang perkara ini. Mungkin pada usia 28 atau 30 tahun, saya sendiri kurang pasti.

“Jika ada pilihan, saya cuba mengelakkan jodoh daripada bidang seni. Tiada sebab tertentu, cuma kalau boleh biarlah dari bidang berbeza. Paling penting dia seorang lelaki matang dan mempunyai emosi stabil,” kata beliau mengakhiri perbualan.