SELEPAS sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos lalu, negara sekali lagi meraikan satu temasya bermakna iaitu Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September.

Hari Malaysia bukan sekadar satu proklamasi, malah begitu signifikan kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya tidak kira di Semenanjung, Sabah mahupun di Sarawak.

Inilah hari yang menyaksikan para pemimpin dan rakyat di ketiga-tiga wilayah bersetuju untuk hidup bersama sebagai Keluarga Malaysia.

Baru-baru ini, hala pena penulis mengarah kepada seorang gadis jelita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang juga pemilik gelaran juara Ratu Unduk Ngadau Kaamatan 2021, Maya Hejnowska.

Baru berusia 21 tahun, gadis kacukan Kadazan-Poland itu tampak yakin, matang, malah setiap aksara kata yang terpacul dari pada bibirnya diatur sopan.

Sebagai permulaan, momentum wawancara Maya bernada sedikit serius apabila tentatif bicara kami bermula dengan membincangkan tentang perspektifnya tentang Hari Malaysia.

Ujar wanita yang mempunyai ketrampilan menawan itu, sebagai sebuah negara yang terbina sudah lebih lima dasawarsa dan memiliki kepelbagaian kaum, adat serta budaya, peri pentingnya untuk memastikan keharmonian bersama terus dijaga pada tahap infiniti.

Justeru, bagi memupuk integrasi nasional, ratu cantik itu menaruh harapan agar generasi milenial terutamanya tidak membentuk pandangan mahupun pemikiran radikal dan diskriminasi terhadap suku, bangsa, etnik atau ras lain.

Selain itu, sentimen nasionalisme kenegerian yang kadangkala tersisa dalam diri sesetengah orang diharap dinyahkan jauh-jauh.

Hari Malaysia juga kata Maya, merupakan hari bersejarah untuk seluruh rakyat negara ini. Maka, sambutan itu perlu diraikan bersama dengan norma baharu.

Bukan itu sahaja, inilah masa terbaik mengingati jasa pejuang era dulu yang mempertaruhkan nyawa demi mewujudkan Malaysia yang aman dan makmur, ungkap jelitawan tersebut.

“Saya lihat, Hari Malaysia bukan sahaja satu platform utuh mengeratkan hubungan antara kaum tidak mengira sama ada di Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung, malah pada masa sama, mendidik anak bangsa agar terus mengenang jasa dan bakti para pejuang yang banyak menumpahkan jasa kepada tanah air,“ tuturnya dengan penuh rasa semangat.

Gadis Unduk Ngadau Kaamatan itu yang juga pernah berkhidmat sebagai guru muzik di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, sumbangan tenaga pengajar juga tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

“Mereka ini juga bukan sekadar mengajar, tetapi aset penting dalam membentuk pelajar yang akan menjadi pemimpin yang bakal mentadbir negara pada suatu hari nanti.

“Berpengalaman sebagai guru, saya mendidik pelajar saya dengan ilmu agar menjadi individu yang berpengetahuan, berpendirian dan memiliki keperibadian sendiri. Itu sebab saya katakan, peranan tenaga pengajar sangat penting dalam kemajuan negara dan tak boleh diendahkan begitu saja,“ katanya.

Mencurah bakti

Ritma perbualan yang bersifat patriotik tadi kemudian penulis bubarkan dan diubah kepada mood yang lebih santai dan menyenangkan.

Disebabkan pertandingan Ratu Unduk Ngadau Kaamatan 2021 pada Mei lalu dijalankan secara dalam talian, publisitinya dilihat begitu sederhana.

Justeru, berbicara lebih kurang sejam bersama Maya, penulis bertanyakan lebih lanjut tentang keterlibatannya yang menyaksikan peterana yang diidamkan ramai peserta menjadi milik wanita berkulit mulus itu.

Beliau yang sedang berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan juga tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih terhadap sokongan serta dorongan padu oleh ramai pihak kepadanya.

Kongsi Maya, pada peringkat awal, tidak terlintas di fikirannya untuk menyertai pertandingan tersebut kerana berpendapat dirinya mungkin tidak mampu bersaing dengan individu lain yang lebih hebat.

Bagaimanapun, desakan keluarga yang menginginkan beliau mencuba sesuatu yang baharu dan keluar dari zon selesa telah dijadikan sebagai batu loncatan untuk menyahut cabaran.

“Sebenarnya, sejak beberapa tahun lalu, ahli keluarga ada minta untuk saya sertai Ratu Unduk Ngadau Kaamatan tetapi saya tidak mahu kerana berasa kurang yakin dengan diri, tapi selepas mencongak itu dan ini, saya cuba memberanikan diri kerana tujuan sebenar hanyalah untuk membina keyakinan serta menimba pengalaman,“ katanya.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Maya sendiri terperanjat besar apabila dinobatkan sebagai juara dan tiada siapa menafikan perimeter kemenangannya ketika itu.

Sesungguhnya kata gadis rupawan itu, gelaran tersebut telah banyak mengubahnya menjadi individu yang lebih baik berbanding dahulu. Antaranya, beliau kini semakin bergiat aktif dengan aktiviti bersama pertubuhan bukan kerajaan.

Tidak mengira sama ada melibatkan urusan semula jadi flora dan fauna atau sesama manusia, Maya meluahkan tekad untuk menjalankan amanah yang diberikan dengan bersungguh-sungguh.
“Saya akan berusaha sedaya mungkin untuk mencurahkan bakti kepada negara, bukan hanya di Sabah, malah di mana sahaja,“ katanya penuh iltizam.

Iklan

Bukan Bella Hadid

Memiliki seraut wajah kacukan yang cukup jelita, pastinya membuka peluang yang terbentang luas untuk dirinya menceburi bidang nyanyian mahupun lakonan.

Sengaja melontarkan soalan itu kepada empunya badan, Maya melepaskan ketawa kecil, seraya berkata: “Bolehkah saya menjadi pelakon?“

Ujarnya tanpa berselindung, jika dibandingkan dengan lakonan, kecenderungannya lebih terarah kepada bidang muzik dan nyanyian.

“Jika inginkan saya menjadi pelakon, memang tidak boleh kerana saya tiada ilmu dalam bidang itu. Namun, jika ada pihak yang ingin memberi peluang dan mengajar teknik lakonan, saya sedia menyahut ajakan itu.

“Bagaimanapun, sebaiknya saya ingin menceburi dunia nyanyian memandangkan saya juga seorang penuntut jurusan muzik dan pernah mengikuti kelas vokal beberapa tahun lalu,“ kata anak kedua daripada tiga beradik yang meletakkan harapan agar beliau mampu berada setanding dengan bintang popular dari negeri kelahirannya seperti Stacy dan Adira.

Biarpun tidak menafikan hasratnya untuk menjadi penyanyi, namun Maya terlebih dahulu ingin mengukuhkan kedudukannya sebagai pengacara sebelum bersedia menceburkan diri dalam cabang seni lain.

Penulis kemudiannya menarik perhatian Maya mengenai statusnya menjadi anak kedua dalam keluarga.

Bukan apa, penulis pernah terbaca mengenai keluhan model terkemuka dunia, Bella Hadid dalam temu bual bersama majalah Vogue pada Ogos lalu.

Iklan

Adik kepada Gigi Hadid itu antara lain menceritakan tentang kesengsaraannya menjadi anak kedua dalam keluarga yang kurang kasih sayang daripada orang tua kerana lebih memberi tumpuan kepada anak sulung dan bongsu.

Akui Hadid, pada usia remaja, beliau sering berasakan dirinya kurang mendapat perhatian, selain menjadi ‘kambing hitam‘ dalam famili.

Bagaimanapun, reaksi Maya pula sebaliknya. Sebaik berkongsi cerita tentang Bella, beliau bersimpati dengan selebriti itu. Pada masa sama, dirinya juga tidak menafikan terdapat sesetengah individu yang mempunyai nasib serupa.

Kepada SinarPlus, Maya berterus-terang bahawa dirinya dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua-dua orang tuanya, apatah lagi peragawati itu satu-satunya bunga di antara dua kumbang dalam keluarganya.

“Saya tidak pernah berasa dipinggirkan. Sejujurnya saya berasa sangat bersyukur kerana tidak pernah berdepan keadaan sebegitu.

“Justeru, saya sangat mengharapkan agar ibu bapa tidak bias dengan memberi fokus kepada anak sulung dan bongsu sahaja. Kena fikirkan kasih sayang anak-anak yang lain juga. Mereka turut mempunyai perasaan dan keinginan serta memerlukan perhatian,“ katanya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram