PELAKON Reen Rahim meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahannya dengan suami, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin yang berlangsung di Boraombak, Marina Putrajaya Sabtu, berjalan lancar seperti dirancang.

Bagaimanapun, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, turut menjelaskan kekeliruan orang ramai berhubung tajaan RM15 yang diterima untuk hari bahagianya itu seperti mana yang pernah dikongsi sebelum ini.

Bintang drama Pujaan Hati Kanda itu berkata, tajaan tersebut sebenarnya tidak melibatkan wang ringgit, sebaliknya ia merupakan nilai keseluruhan tajaan dalam bentuk aksesori yang digayakan pada majlis berinai, akad nikah dan resepsi.

“Bila pihak media berkongsi mengenai tajaan RM15 juta, ramai orang fikir jumlah tersebut adalah nilai untuk keseluruhan majlis perkahwinan saya. Sebenarnya tidak!

“Tajaan RM15 juta itu hanya melibatkan aksesori saya pakai untuk tiga acara yang berlangsung pada hari bahagia saya iaitu berinai, nikah dan bersanding.

“Selain daripada itu, semuanya saya sediakan sendiri termasuk khidmat perunding perkahwinan yang aturkan perjalanan majlis sebagaimana saya mahukan,” jelasnya.

Tambah Reen, sekiranya tajaan tersebut dalam bentuk wang ringgit, sudah pasti dia tidak akan membelanjakan jumlah sebegitu semata-mata untuk majlis perkahwinan.

“Saya ingin maklumkan dengan jelas yang saya bukannya terima jumlah RM15 juta untuk belanja majlis. Apa yang mahal dan bernilai jutaan ringgit itu adalah aksesorinya sahaja, bukan keseluruhan majlis.

“Kalau betul saya mempunyai jumlah wang sebanyak itu, lebih baik saya gunakan untuk bantu mereka yang memerlukan,” tegas Reen yang ditemui sejurus selepas majlis akad berlangsung.

Mengulas tentang lelaki pilihan yang kini bergelar suaminya, Reen menganggap dirinya bertuah bertemu jodoh dengan Hazim, 28, yang sifatkan sebagai seorang yang penyayang dan memahami dirinya.

“Soal jodoh sukar nak jangka. Ia seperti magis daripada Allah. Saya rasa bersyukur sangat dipertemukan dengan Hazim.

“Sepanjang dua tahun perkenalan, kami tidaklah terlalu rapat tetapi berkawan baik kerana ada keserasian. Kami tidak pernah keluar dating sehinggalah dia melamar saya sebulan sebelum kami bertunang,” ujarnya.

Hormati keluarga mertua

Reen mengakui tidak berniat untuk berahsia atau menyembunyikan identiti suaminya kepada umum sebelum ini, tetapi ia lebih kepada mahu menghormati keluarga mertuanya.

“Saya tidak berniat untuk berahsia, tetapi lebih kepada menghormati dan menjaga hati keluarga suami daripada mendengar gosip atau cerita tidak betul tentang kami. Untuk keluarga saya sendiri, mereka sudah biasa dengan perkara seperti itu.

“Saya bukanlah orang yang baik. Jadi tidak mahulah nanti keluar cerita-cerita yang tidak elok dan boleh mengguris hati keluarga suami pula,” katanya.

Sementara itu Hazim, 28, berkata, dia menerima Reen seadanya wanita itu dan jarak usia enam tahun antara mereka juga tidaka pernah menjadi penghalang.

“Saya menerima dia seadanya. Saya kenal dirinya bukan sebagai selebriti tetapi sebagai Noreen Ashikin Abdul Rahim.

Iklan

“Bagi saya dia memang istimewa kerana boleh buka hati saya yang sudah lama hidup solo ini. Akhirnya ada juga wanita dapat tembus ke tembus ke hati saya,” katanya.

Menyentuh tentang kerjaya seni Reen selepas ini, Hazim akan terus memberikan sokongan dan tidak meletakkan sebarang syarat kepada isterinya untuk terus aktif dalam lakonan.

“Kerjaya lakonan itu adalah rezeki dia, buat apa saya nak halang. Bukan dia buat benda yang tak elok. Rezeki itu Allah yang bagi, jadi saya sokong sahaja dari belakang.

“Saya tidak letakkan sebarang syarat kerana pasti dia sendiri tahu mana yang baik dan buruk. Sebagai suami saya akan sentiasa nasihatkan dia dan perbetulkan jika ada apa yang salah,” katanya.

Pasangan yang mula berkenalan sewaktu di set penggambaran filem, Daddyku Gangster itu bagaimanapun terpaksa menunda dahulu percutian bulan madu mereka disebabkan terikat dengan jadual kerja padat.

Iklan

“Kami belum fikirkan lagi tentang bulan madu. Mungkin selepas selesai semua urusan kerja yang sudah dijadualkan lebih awal, barulah kami akan bercuti,” akhiri Reen.

Reen dan suami bakal diraikan pada majlis resepsi yang akan berlangsung di Ruscus Hall, Forest Valley, Cheras pada malam Ahad.

(FOTO: THE LOVA)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.