Remy Ishak belum mengalah

A
A
A

PENULARAN virus pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak lebih setahun lalu sememangnya memberi dugaan buat semua.

Bukan hanya di duga hebat dengan kehilangan ahli keluarga yang tumpas akibat virus berkenaan, ada juga di kalangan kita yang hilang mata pencarian akibat kesan ekonomi masa kini seperti diberhentikan kerja, perniagaan yang terpaksa di tutup dan pelbagai lagi.

Terpisah sekian lama dengan keluarga tercinta dan perlu mengulang rutin sama di rumah juga bagai menambah tekanan demi tekanan sehingga membuatkan kes mengenai masalah mental menjadi perhatian ramai.

Walaupun isu kesihatan mental menjadi taboo dalam masyarakat Malaysia khasnya dan jarang dibincangkan, namun laporan mengenai kes bunuh diri dan tekanan sejak akhir-akhir ini telah membuka mata ramai pihak.

Pernah melalui situasi serupa apabila berdepan dengan kemurungan akibat perubahan rutin hidup secara mendadak, aktor berbakat besar, Remy Ishak bagaimanapun bersyukur semakin pulih daripada masalah yang dihadapi.

"Alhamdulillah, saya kini semakin pulih dalam masalah kemurungan dan tekanan yang dialami sebelum ini. Jika dulu saya perlu bergantung dengan ubat, namun kini saya bebas.

"Cuma ada ketikanya saya masih berhubung dengan pakar psikiatri dan saya tahu bagaimana untuk mengendalikan mental saya ke arah yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya kepada SinarPlus.

Mengimbau kembali detik-detik yang membawa Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, ke arah masalah kemurungan, anak kelahiran Melaka itu mendedahkan kematian bapanya pada penghujung 2019 memberi tamparan kepadanya.

Keadaan semakin memburuk apabila koronavirus mula menular dalam masyarakat dan mendorong kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020.

Remy kini lebih positif dalam mengharungi hari yang mendatang.

Dek keterbiasaan bertemu ramai orang lantaran tuntutan tugas sebagai pelakon dan duta produk, perubahan rutin hidup itu secara tidak langsung memberi tekanan buat figura berusia 39 tahun ini.

"Perubahan hidup secara drastik ketika PKP tahun lalu, ditambah saya tinggal bersendirian memberi tekanan kepada saya kerana saya tak bersedia untuk melalui situasi itu.

"Bagaimanapun selepas rawatan dan melalui sendiri situasi itu, saya kini lebih tenang dan bersedia melalui fasa PKP seterusnya.

"Saya juga lakukan aktiviti yang lebih berfaedah untuk mengisi masa terluang seperti membaca, bersenam dan lain-lain," jelasnya.

Ditanya pernahkah dihubungi peminat yang meluahkan masalah serupa, Remy berkata, dia cuba membantu sebaik mungkin agar individu sebegini tidak rasa keseorangan.

"Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk berinteraksi dan dekatkan diri dengan perkara positif.

"Jadi apabila ada yang menghubungi saya di media sosial dan mengadu masalah sama, saya galakkan mereka untuk kerap berbual. Bagaimanapun kebanyakan yang menghubungi saya mengadu mengenai masalah kewangan yang dihadapi.

"Selalunya saya cuba membantu sebaik mungkin dengan menghubungi pusat zakat atau badan bukan kerajaan sebab tak mahu ada yang mengambil kesempatan," ujarnya.

Kembali dengan 'Jo Don'

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Remy memberitahu, siri drama bergenre komedi 'mafia' Malaysia iaitu Keluarga Baha Don kembali untuk musim ketiga di platform penstriman VIU.

Remy yang memegang karakter sebagai Jo Don mengakui teruja dengan musim baharu yang lebih mencabar dan berbeza daripada musim sebelum ini.

"Dalam dua musim sebelum ini, watak Jo Don nampak naif, namun dalam musim ketiga ini, watak Jo Don akan lebih gelap apabila dia mengetuai kumpulannya sendiri.

"Saya tak nafikan, perjalanan watak saya dalam musim ini lebih berat daripada dua musim terdahulu. Lebih menarik apabila akan ada banyak tarikan lain untuk setiap watak dalam siri ini, terutamanya dengan kemunculan semula Puan Sri Tiara Jacquelina dalam industri lakonan selepas 17 tahun," katanya.

Keluarga Bahadon 3 memaparkan lebih banyak konflik dan pelakon hebat.

Keluarga Baha Don 3 bersambung daripada babak tergantung ketika musim kedua lalu, di mana Bobby Bachan, lakonan Fikry Ibrahim mengeluarkan ancaman berat untuk memusnahkan Keluarga Baha Don.

Musim ketiga yang mempunyai 10 episod itu turut dibintangi Khir Rahman, Jihan Muse, Susan Lankester, Othman Hafsham, Nam Ron, Tony Eusoff dan ramai lagi. Selain Tiara, antara muka baharu yang dimasukkan dalam musim kali ini adalah Datuk Jalaluddin Hassan, Elizabeth Tan dan Vicha Saywho.

Tambah Remy, dia menyifatkan peluang untuk terlibat dalam Keluarga Bahadon ini sebagai sesuatu yang sukar dilepaskan.

"Bagi saya jalan cerita dalam Keluarga Bahadon ini segar dan berbeza. Selepas membawakan watak lelaki romantis, banyak tawaran sama yang muncul.

"Sebagai pelakon, tentu sekali saya nak beri variasi buat penonton dan bila tawaran Keluarga Bahadon datang, saya sangat teruja kerana dapat melakukan sesuatu yang berbeza," jelasnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca