SELEPAS Zul Ariffin, kini pelakon Remy Ishak pula menarik diri daripada Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABPBH34) tahun ini.

Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 39, keputusan itu diambil berikutan pada tahun lalu, dia tidak mempunyai banyak produk drama dan filem, sekali gus mahu memberikan peluang kepada calon lain yang lebih layak.

Remy mengumumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran yang dilakukan di Instagram Story miliknya pada Rabu.

“Memandangkan tahun lalu produk filem atau drama yang saya lakonkan kurang, saya berpendapat peluang ini harus diberikan kepada mereka yang lebih layak untuk bertanding,” ujarnya.

Jelas pelakon Pujaan Hati Kanda itu lagi, keputusan tersebut juga telah dimaklumkan kepada pihak penganjur.

“Saya telah maklumkan kepada pihak penganjur untuk tidak dicalonkan dalam mana-mana kategori ABPBH34.

Iklan

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak penganjur dan peminat yang selama ini menyokong saya,” katanya.

Iklan

Remy pernah memenangi kategori Gandingan Serasi Drama bersama Mira Filzah untuk drama Pujaan Hati Kanda pada ABPBH32 dan Pelakon TV Lelaki Popular pada ABPBH24.

Sebelum itu, pelakon Zul Ariffin terlebih dahulu mengumumkan penarikan dirinya daripada acara tersebut yang dijadualkan bakal berlangsung pada 13 November depan.