MINGGU ketujuh program pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri, The Masked Singer Malaysia (TMSM) musim kedua mengejutkan juri-juri apabila identiti di sebalik topeng Periuk Kera didedahkan.

Menduduki tempat di tangga terakhir dengan markah terendah sebanyak 78.33%, identiti di sebalik topeng Periuk Kera itu sebenarnya adalah penyanyi dan komposer terkenal, Reshmonu.

Biarpun barisan juri sudah diberikan klu yang betul iaitu ‘international’ dan ‘sebutan pelat’, namun tekaan yang dibuat masih tidak tepat. Ramai yang meneka sebutan pelat Periuk Kera itu merujuk kepada penyanyi kelahiran Korea Selatan, Hanbyul.

Walaupun tersingkir pada minggu ketujuh, Reshmonu tetap gembira kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas TMSM musim kedua.

“Seua proses yang dilalui sepanjang terlibat dalam program ini sangat menyeronokkan saya,” katanya yang menyanyikan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud nyanyian asal Datuk M. Nasir.

Pada minggu ini, Zizan Razak masih menduduki tangga teratas dengan meraih 4 markah, sekali gus melayakkannya memenangi Anugerah Tekaan Juri Paling Gempak.

Iklan

Barisan peserta yang bakal meneruskan perjuangan pada minggu depan ialah Orkid, Rambutan, Ratu Semut, Burung Hantu, Seladang, Bujang Senang dan Si Merak.

Iklan

TMSM2 bersiaran di Astro Warna (Saluran 127) dan Warna HD (Saluran 107) pada setiap Jumaat, jam 9 malam. Program ini juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand dan di aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)