TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Pepatah itu barangkali cukup sesuai untuk menggambarkan rezeki berganda yang diperoleh band terkenal, Floor 88.

Sudahlah berpeluang mengadakan konsert sulung Eighty8 Infinity Concert pada 27 Mac depan, kesemua anggota kumpulan itu turut dipelawa menunaikan umrah.

Bercerita lanjut mengenai tawaran itu, vokalis Floor 88, Ayie Ilham berkata, ‘lamaran’ oleh pihak GBH (Grand Barakah Hotel) bulan lalu sememangnya sukar untuk ditolak.

“Pada awalnya kami mendapat tahu pemilik GBH adalah peminat setia. Kami ada bertemu bulan lepas dan ia lebih kepada sesi suai kenal.

“Kemudian beliau tanya sama ada kami berhasrat buat konsert. Pertanyaan itu ibarat membuka jalan dan peluang yang sukar dilepaskan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media Eighty8 Infinity Concert di Hotel Grand Barakah, Ampang baru-baru ini.

Ditanya perancangan mereka mengadakan konsert dalam situasi kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, pemain gitar kumpulan itu Zai Hamzah atau Achoi berkata, mereka akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Eighty8 Infinity Concert akan menjadi konsert sulung kumpulan ini selepas berkecimpung dalam industri seni sejak 2016.

Katanya, lokasi konsert sulung mereka nanti boleh memuatkan ­kira-kira 1,000 penonton dan akan dikurangkan kepada 750 orang bagi tujuan penjarakan sosial.

“Kami sudah lama merancang untuk mengadakan konsert sejak dua tahun lalu. Tetapi Covid-19 memaksa kami menangguhkan perancangan itu.

“Jadi bila ada peluang seperti ini, walaupun perlu buat persiapan dalam masa singkat, ia akan diteruskan.

“Kami tidak mahu tunggu lagi kerana konsert ini adalah jawapan kepada persoalan peminat yang sentiasa bertanya, bila Floor 88 mahu mengadakan konsert.

“Insya-ALLAH kami akan buat sehabis baik dan persembahkan konsert yang akan diingati peminat,” katanya yang memberi bayangan untuk melancarkan lagu baharu pada konsert itu nanti.

Iklan

Floor 88 yang dianggotai Ayie selaku vokalis, Achoi (gitar utama), Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua) akan menyampaikan 13 buah lagu bersama susunan muzik berbeza.

Eighty8 Infinity Concert akan dimeriahkan lagi dengan persembahan Apak Harry Khalifah dan Caramelt Band.

Menggigil

Sementara itu, berkongsi perasaan ditaja untuk menunaikan umrah pada Mei depan, Ayie, 24, berkata, mereka menggigil dan terharu kerana impian untuk ke Tanah Suci akhirnya akan tercapai.

Vokalis Floor 88, Ayie Ilham.

“Kami sudah lama teringin menunaikan umrah bersama, tetapi kewangan membataskan impian itu.

Iklan

“Bila pihak GBH tanya sama ada kami mahu menunaikan umrah bersama mereka, saya rasa menggigil, bukan sebab tak bersedia tetapi lebih kepada terkejut.

“Setakat ini, hanya kami berenam yang akan ke sana. Tetapi kalau ada rezeki dan kesempatan, saya harap keluarga juga boleh turut serta.

“Cuma isteri saya mungkin tidak akan bersama ke Tanah Suci kerana sudah sarat hamil ketika itu,” jelasnya.