MENJADI pasangan selebriti yang disatukan dalam tempoh pandemik, ternyata memberi pengalaman berharga buat pasangan romantis, Intan Ladyana dan Harris Alif.

Berkongsi kehidupan selepas berkahwin, Intan berkata, fokusnya kini lebih terarah kepada keluarga.

Kehidupan sebagai isteri juga menuntut dia untuk lebih teliti sebelum menerima apa-apa tawaran bagi memastikan tidak mengganggu tanggungjawab utamanya.

“Memang ada yang berubah selepas berkahwin pastinya keutamaan saya kepada keluarga kini. Pada tempoh sekarang juga saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Fokus saya kini bukan kepada kerjaya sahaja tetapi juga keluarga, jadi saya perlukan kehidupan yang seimbang.

“Sebab itu saya agak memilih tawaran selepas berkahwin, selepas bergelar isteri saya tahu tanggungjawab utama saya adalah untuk menguruskan keluarga. Tetapi Alhamdulillah rezeki selepas berkahwin itu lebih murah,”jelasnya.

Sementara itu mencari jawapan disebalik teka-teki yang kini sibuk diperkatakan, Intan lebih senang untuk tidak membuka mulut mengenai kehamilannya.

Menolak soalan ini kepada suaminya untuk menjawab, ketika ini jelas Harris dia dan Intan lebih senang untuk menunggu waktu yang sesuai.

“Tiada apa yang boleh saya kongsi lagi, tetapi saya berjanji kalau ada waktu yang sesuai untuk kami kongsikan berita yang gembira kami akan berbuat demikian.

“Cuma buat masa ini, apa yang kami minta daripada peminat di luar sana adalah doa-doa ikhlas kalian. Terus doakan kebahagian saya dan Intan,” ulasnya.

Pasangan ini lebih selesa mengunci mulut mengenai berita kehamilan Intan Ladyana.

Tampil dengan Anugerah

Mengakui tempoh 10 bulan bergelar sebagai suami isteri ini sebagai sesuatu yang cukup manis ketika ini perkongsian hidup mereka juga turut disusuli dengan kehadiran Anugerah.

Bercerita mengenai Anugerah, Intan berkata, dia dan Harris bersyukur apabila diberi peluang oleh Nori Malaysia Sdn Bhd untuk memperkenalkan produk wangian mereka di bawah jenama Anugerah.

Iklan

Melihat ia sebagai permulaan buat mereka lebih serius dalam bidang perniagaan, Intan berharap dapat mempelbagaikan produk di bawah jenama yang sama.

“Anugerah sudah mempunyai dua produk, satu Anugerah Body Mist dan Anugerah Fantasy. Kami juga dalam rancangan untuk memperkenalkan Anugerah Man.

“Ketika ini produk kami sudah berada di lapan Aeon di seluruh negara. Insya-Allah pada tahun ini juga produk kami akan berada di lima lokasi lain antaranya di Pantai Timur.

“Mengapa saya dan suami memilih Anugerah, sebagai jenama produk wangian kami? Ia disebabkan perkataan Anugerah itu sendiri cukup istimewa buat kami berdua,” katanya.

Iklan

Sementara itu bagi Harris pula, dia melihat peluang yang diberikan Nori Malaysia sebagai satu lagi cabang perniagaan yang ingin diceburinya.

Walaupun hadir dalam tempoh pandemik kira-kira setahun lalu namun dia sentiasa percaya dengan kemampuan perniagaan ini.

“Bila Nori Malaysia tawarkan untuk jalin kerjasama, kami tidak mengambil masa yang panjang untuk setuju. Antara sebab mengapa kami yakin dengan Nori Malaysia juga kerana ramai lagi rakan artis lain turut menjalinkan kerjasama.

“Selain itu, walaupun tawaran untuk memperkenalkan Anugerah dalam tempoh pandemik apa yang kami bersyukur bagaimana sambutan yang diberikan sangat baik,” ujarnya.