PELAKON remaja sedang meningkat naik, Idan Aedan melakar sejarah industri seni tanah air apabila menjadi pelakon pertama tempatan yang membintangi siri Netflix antarabangsa.

Idan atau nama sebenarnya, Muhammad Shahidan Abdullah, 18, bakal tampil dalam siri 13 episod berjudul Mr. Midnight: Beware The Monsters sebagai teraju utama menerusi watak Tyar.

“Saya bersyukur diberikan peluang sebesar ini. Ketika mendapat tawaran dan menjalani penggambaran siri ini, saya baru berusia 17 tahun ketika itu. Alhamdulillah rezeki saya.

“Saya sebenarnya tidak pernah terbayang untuk sampai ke tahap seperti ini, malah saya sedar, bukan mudah untuk pelakon tempatan diberikan peluang sebegitu. Rasa macam mimpi pun ada.

”Tidak dinafikan, bekerja dengan produksi antarabangsa adalah antara impian saya. Apatah lagi dapat berlakon dalam drama genre kesukaan saya iaitu seram.

“Tipulah kalau saya kata tidak pernah mengimpikan untuk berlakon dengan produksi antarabangsa, cuma saya tidak sangka peluang datang secepat cepat,” ujarnya.

Antara babak menarik lakonan Idan dalam Mr. Midnight: Beware The Monsters.

Mengulas tentang watak Tyar yang dipegang dalam siri adaptasi novel popular dari Singapura itu, Idan berkata, karakter tersebut boleh melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus disebabkan keturunan sebelah ibunya adalah dukun.

“Tyar yang berumur 17 tahun tidak tahu bagaimana hendak mengawal kemampuan tersebut sehingga menyebabkan timbul pelbagai konflik.

“Kalau nak tahu lanjut bagaimana dia berhadapan dengan dunia ghaib itu, kenalah tonton nanti,” katanya.

Berbahasa Inggeris

Mr. Midnight: Beware The Monsters yang menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan 2021 itu menampilkan tiga pengarah hebat dari luar negara iaitu Tony Tilse, Sean Oliver dan Yee-Wei Chai.

Tidah hanya itu, anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui teruja dapat bekerja dengan pelakon ternama dari Indonesia iaitu Adinia Wirasti, selain barisan pelakon lain Maxime Bouttier, Caleb Monk, Chen Yixin, Nikki Dekker.

Iklan

“Boleh dikatakan ia satu kenangan manis dan tidak dapat saya lupakan. Dalam usia yang muda begini, saya dapat bekerja dengan mereka yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa. Ini satu pencapaian yang tak pernah saya terfikir.

“Selain pengalaman bekerja dengan pengarah dan gandingan pelakon yang hebat, saya juga belajar banyak perkara baharu terutama cara bekerja yang amat berbeza.

“Tidak hanya tentang lakonan, tetapi saya turut diberikan pendedahan tentang camera work serta teknikal lain seperti lighting, set dan sebagainya yang membuatkan saya boleh memahami keseluruhan perjalanan cerita itu,” jelasnya yang mengakui terdapat banyak perbezaan dalam proses penggambaran siri tersebut berbanding pengalaman lakoannya sebelum ini.

Berkongsi pengalaman menjalani penggambarannya yang sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris, Idan berkata, ia bukan perkara yang mudah baginya.

Iklan

“Saya memang boleh berbahasa Inggeris memandangkan ibu sering menggalakkan saya menonton program televisyen berbahasa Inggeris sejak kecil lagi.

“Cuma pada awal penggambaran saya agak rasa kekok kerana pengarah dan semua kru bercakap dalam bahasa Inggeris.

”Sebelum ke set tersebut, saya back to back menjalani penggambaran untuk filem Melayu, tiba-tiba sampai di lokasi Mr. Midnight, semua bercakap bahasa Inggeris. Agak kekok juga, tapi selepas itu dah okey,” katanya.