SETIAP kali menjelang Aidilfitri dendangan lagu-lagu raya baharu dan lama pasti menjadi pilihan untuk turut sama memeriahkan hari kemenangan itu.

Apatah lagi setelah dua tahun tidak dapat meraikan hari raya sebagaimana lazimnya disebabkan pandemik Covid-19, Aidilfitri kali bakal diraikan dengan kegembiraan dan kemeriahan.

Menzahirkan rasa sama, penyanyi Ayu Damit mahu menceriakan raya istimewa ini dengan menampilkan single raya berjudul Riang Ria Lebaran. Karya ciptaan KD Records dan lirik tulisan bersama Ayu itu turut dinyanyikan bersama Bob Yusof, Syura, Asmidar, Shah Iran, Aruel Ariel dan Fitri Hiswady.

Menurut pemilik nama Norayu Damit, 33, idea menghasilkan lagu tersebut tercetus apabila melihat ramai yang teruja untuk meraikan lebaran kali ini.

“Pada awalnya lagu ini dihasilkan untuk duet, tetapi saya buat permintaan kepada komposer untuk tampil dengan lagu raya yang boleh dinyanyikan secara beramai-ramai supaya nampak lagi meriah.

“Jadi saya pelawa rakan-rakan yang berminat untuk turut serta dalam rakaman lagu raya ini dan masing-masing memberikan memberikan komitmen terbaik bermula daripada proses rakaman sehinggalah kepada penghasilan muzik video,” ujarnya kepada SinarPlus.

Ayu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single raya Riang Ria Lebaran di Pak John Steamboat & BBQ Buffet IOI City Mall, Putrajaya, pada Khamis.

Berkongsi lebih lanjut tentang proses pembikinan lagu tersebut, pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim ketujuh itu berkata, pengalaman yang dilalui bersama rakan-rakan cukup berharga dan mencipta memori tersendiri buat mereka bersama.

“Pada mulanya saya agak gementar kerana menyanyikan lagu ini bersama tiga guru vokal iaitu Bob, Aruel dan Fitri. Begitu juga dengan Asmidar, Syura dan Shah Eranz yang semua orang tahu kualiti vokal mereka macam mana.

“Bagi saya, masing-masing saling melengkapi dan berjaya menjadikan lagu ini sebuah lagu raya yang sangat istimewa. Jadi memang sesuailah lagu ini dinyanyikan secara beramai-ramai.

Iklan

“Barulah meriah sekali gus mengimbau memori lagu-lagu raya era 2000 yang menampilkan ramai penyanyi dalam sesebuah lagu raya,” ujarnya yang turut mendapat sokongan daripada FMC Music.

Dalam pada itu, Ayu juga meluahkan rasa syukur apabila penggambaran muzik video Riang Ria Lebaran yang dilakukan di kediaman pengasas Jamu Mak Dara, SM Gadaffi Syed Ali di Beverly Height, Kuala Lumpur itu berjalan lancar sebagaimana dirancang.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Masing-masing saling membantu dan banyak kongsi idea sehingga terhasilnya muzik video ini,” katanya.

Iklan

Tidak kisah mengeluarkan bajet sendiri untuk menghasilkan lagu raya, selebriti yang juga aktif sebagai usahawan itu berkata, apa yang lebih penting buat dirinya adalah kepuasan dalam berkarya.

“Bagi saya apa yang mustahak, kita puas hati. Itu sudah memadai. Apatah lagi bila melihat kesungguhan kawan-kawan dalam memberikan komitmen, saya rasa berbaloi dan terharu,” ujarnya.

Lagu Riang Ria Lebaran kini boleh didapati di semua platform muzik digital, manakala muzik video lagu ini pula boleh ditonton di saluran YouTube FMC Music.