PERSATUAN Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengambil inisiatif membantu pengamal industri muzik yang memerlukan bantuan kewangan segera dengan pembentukan Dana Tabung Kecemasan.

Penerima terpilih adalah penggiat muzik yang terlibat dalam industri rakaman dan pendapatan terjejas atau hilang sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, bantuan tersebut diharapkan dapat meringankan beban mereka yang terlibat.

“Dana Tabung Kecemasan ini adalah salah satu inisiatif utama yang memerlukan pelaksanaan segera kerana ramai pengamal industri muzik terjejas disebabkan pandemik.

“Sumbangan kepada pihak yang terlibat akan mematuhi parameter dan syarat yang memungkinkan kami membuat pilihan dan keputusan penerima dana dengan sebaik mungkin,” katanya.

Tambah Rosmin, semenjak perlantikan Ahli Majlis Baru RIM untuk penggal 2021-2023, pihaknya aktif merangka pelbagai strategi mengembangkan industri muzik tempatan.

Iklan

“Kami, sedang merancang aktiviti pengumpulan dana berskala lebih besar dengan kerjasama Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) yang melibatkan pertandingan menulis lagu dan proses bidaan lagu.

“RIM akan terus meneroka peluang kolaboratif lain dengan kumpulan atau badan berkaitan dengan industri muzik untuk pengumpulan dana bagi inisiatif amal seterusnya di masa hadapan,” katanya.

Iklan

Inisiatif Amal RIM dimulakan dengan sumbangan berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada pemain gitar kumpulan Search, Kid dan komposer Ross Ariffin yang memerlukan bantuan akibat kesukaran hidup.

Dalam pada itu, RIM juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Pemuzik Malaysia (MfM) untuk menyumbang sejumlah RM10,000 kepada 20 pemuzik rakaman yang tidak dapat bekerja disebabkan pemberhentian projek rakaman lagu dan penutupan
banyak pusat hiburan.