PENGUMUMAN kerajaan mengenai pembukaan semula sektor industri kreatif negara baru-baru ini memberi nafas lega kepada ramai pengamal sektor industri kreatif termasuk industri muzik.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) serta ahli-ahli mereka amat gembira dan berterima kasih atas berita yang dinantikan ini kerana ia akan membuka laluan untuk pemulihan industri muzik tempatan secara beransur.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata, semenjak penguatkuasaan pelbagai peraturan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, banyak projek rakaman dan produksi video muzik ahli-ahli RIM terpaksa ditunda.

“Selama tempoh ini, hanya rakaman baharu yang dapat dilakukan secara maya di rumah artis-artis berkenaan dan di studio penerbit. Produksi video muzik juga terhad kepada penggambaran di studio menggunakan teknologi layar hijau.

“Penurunan mendadak dalam jumlah rakaman muzik baharu yang dihasilkan oleh ahli-ahli kami mengurangkan banyak peluang pekerjaan bagi ramai pengamal industri muzik yang sumber pendapatan mereka bergantung kepada pelaburan berterusan dalam rakaman muzik baru oleh ahli-ahli kami.

“Projek rakaman yang terhenti semasa PKP menyebabkan pengurangan pendapatan yang ketara bagi penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penyusun muzik, penerbit, studio rakaman dan ramai lagi pengamal dalam ekosistem industri muzik.

“Malah dengan penutupan pusat-pusat hiburan, penyanyi dan pemuzik juga tidak dapat memperolehi pendapatan dari persembahan langsung mereka. Industri berkaitan seperti penganjur konsert, pusat karaoke dan pusat hiburan lain turut mengalami impak pengurangan pendapatan yang besar”, katanya.

Tambah Rosmin lagi, situasi itu memberi impak yang besar kepada ramai pengamal industri muzik kini sehingga ada di antara mereka yang terpaksa menaikkan ‘bendera putih’ mereka sendiri untuk mendapatkan bantuan.

Iklan

Melalui dana kecemasan RIM, Rosmin berkata, pihaknya dapat memberikan bantuan kepada sejumlah pengamal industri muzik yang menghadapi masalah kewangan. Namun, ini adalah bantuan jangka pendek dan sektor industri muzik harus dibuka semula untuk membolehkan pengamal industri muzik kembali meraih pendapatan menerusi pekerjaan yang dibuat sebelum ini.

“Alhamdulillah, industri muzik kini dibuka semula dan kami melihat masa depan yang lebih cerah. Sebagai badan muzik ‘de facto’ yang memperjuangkan, melindungi dan mendorong perkembangan industri muzik tempatan melalui pelbagai inisiatif, RIM akan terus memainkan peranannya dalam membangunkan industri muzik tempatan.

Iklan

“Dalam hal ini, kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua badan muzik dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk membantu dalam pemulihan dan pertumbuhan industri muzik tempatan di masa hadapan”, akhirinya.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati www.rim.org.my atau menerusi facebook.com/RecordingIndustryMalaysia, @recordingindustrymalaysia di Instagram dan @rim_malaysia di Twitter.