“Risau kalau ada yang fikir kami sekadar gebang,” – Aeril, Wawa masih tunggu kelulusan pembinaan masjid
BIARPUN berdepan pelbagai cabaran dan perlu melalui proses yang panjang, hasrat pelakon dan usahawan Aeril Zafrel serta isteri, Wawa Zainal untuk membina masjid seperti mana dirancang sebelum ini tidak pernah berakhir.
Menurut Aeril, 35, perancangan membina masjid di kampung halamannya, di Rengit, Johor, akan tetap diteruskan dan kini sedang menunggu proses kelulusan daripada pihak berkuasa.
“Kalau ikutkan perancangan bina masjid sudah lama, sampai saya pun segan nak jawab berkenaan perkara ini.
“Risau kalau ada yang fikir kami sekadar ‘gebang’, tetapi jujurnya daripada pihak kami semuanya sudah disediakan termasuk kos pembinaannya. Namun kami perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
“Saya difahamkan prosedur di Johor agak berbeza dan sedikit rumit berbanding negeri lain. Jadi kami perlu menunggu kelulusan tersebut dan semoga ada perkembangan positif selepas ini,” ujarnya.
Pasangan pelakon ini menyuarakan hasrat mereka membina masjid pada tahun 2020 dengan menggunakan dana bernilai jutaan ringgit daripada hasil keuntungan koleksi Muslim Bukhari yang dikeluarkan oleh Wawa Cosmetics.
“Kalau ikutkan rasa kesal, memang ada, tetapi dalam masa sama saya juga faham kita kena ikut prosedur ditetapkan.
“Boleh saja nak teruskan pembinaan, tetapi ia tidak akan mendapat status masjid, tetapi mungkin hanya surau,” katanya.
Kesal
Mengulas tentang pertemuannya dengan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dipolitikkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini, Aeril akui kesal dengan tindakan tersebut.
“Saya berjumpa dengan YB berkenaan kerana beliau adalah wakil rakyat di kawasan terbabit. Tidak kisah beliau daripada parti mana atau siapa yang menang di situ, tetapi kita kena jumpa atas rasa hormat.
“Tidak perlu pun nak dipolitikkan kerana pertemuan itu bukan bertujuan untuk memohon dana atau bantuan kewangan daripada pihak terbabit. Semuanya duit kami sendiri.
“Saya cuma berharap pertemuan tersebut akan memberikan hasil yang positif dan pembinaan masjid berkenaan dapat dilaksanakan segera. Semoga prosesnya dipermudahkan,” tegas Aeril.
Aeril berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Wawa Cosmetics, Wawa X Rozyana, Asmaradana – Lagenda Kembali di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menjelaskan tentang kolaborasi kedua bersama pempengaruh TikTok, Rozyana Roslan yang mempunyai lebih 5.2 juta pengikut itu, Wawa berkata, ia berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan terhadap minyak wangi tersebut sebelum ini.
“Selepas produk pertama dilancarkan pada tahun lalu, kami mendapat permintaan begitu tinggi daripada pelanggan yang mula yakin dengan kualiti produk ini.
“Jadi kami teruskan kolaborasi dengan mengeluarkan saiz botol wangian lebih besar dan didatangkan dengan tiga jenis varian iaitu Seri Pagi, Syurga Malam dan Mengundang Cinta.
“Kali ini kami hanya menampilkan kuantiti yang agak terhad iaitu sebanyak 40,000 unit sahaja. Alhamdulillah sambutannya luar biasa dan kesemuanya sudah habis terjual dalam masa singkat,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang