Rita Nadira terima berbakul cacian, makian
DEK keberkesanan lakonan antagonis yang sering dijayakannya, pelakon Rita Nadira mengakui sering dilemparkan kata-kata kesat dan hinaan oleh individu yang tidak dikenalinya.
Akur dengan ‘kebencian’ orang yang terbawa-bawa oleh emosi lakonan yang diberikan, pelakon berusia 25 tahun itu terpaksa merelakan dirinya dibenci orang.
“Jujur sampai ada yang sanggup melemparkan kata-kata kesat dan hinaan yang disifatkan keterlaluan kerana terbawa-bawa dengan emosi lakonan saya berikan.
“Pelbagai gelaran jahat dan tidak enak didengar adalah antara hinaan yang pernah dilempar kepada saya, namun saya terima.
“Saya percaya apabila dibenci sedemikian rupa, lakonan dipersembahkan berjaya diserlahkan. Kalau begini caranya, saya tak kisah ‘dibenci’,” katanya yang memulakan karier sebagai peragawati.
Tambah pelakon drama Jangan Menangis Cinta itu, segala makian, cacian dan cemuhan bukan hanya dilemparkan secara berdepan, malah di media sosial juga.
Justeru, bagi mengelakkan perbalahan di akaun media sosial, Rita memilih untuk mengehadkan komen daripada pengikutnya.
“Bukan setakat ruangan komen dalam Instagram tetapi mesej langsung penuh makian pun bertimbun-timbun saya terima sehingga ke hari ini.
“Bagaimanapun, saya sejak awal lagi sudah bersedia untuk dikecam dan menjadi sasaran netizen melepaskan amarah terbuku mereka.
“Secara tidak langsung watak sebegitu menjadi batu loncatan untuk saya membina nama dan dikenali,” jelasnya.
Tegas Rita, dia sama sekali tidak menyalahkan andai ada penonton yang tidak menyukai dirinya kerana lakonan yang diberikan kerana dia sendiri merasai perkara sama.
“Memang tidak dinafikan, orang kenal saya menerusi watak-watak antagonis yang minta dimaki semua. Saya kalau tengok balik lakonan sendiri pun rasa benci, apatah lagi mereka yang menonton.
“Watak Melissa dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu antara karakter yang membuka mata ramai. Boleh dikatakan saya banyak bermain dengan emosi untuk menghidupkan watak ini. Namun, pada masa sama saya puas dapat buat orang benci,” katanya.
Tidak hanya mahu dikenali dengan karakter sama, Rita mengakui mengimpikan untuk ‘lari’ daripada watak antagonis.
Rita yang merupakan graduan dalam jurusan seni persembahan berharap dapat menjadi lebih versatil pada masa akan datang.
“Kalau ada kesempatan, saya mahu meneroka watak lain supaya tidak terus statik.
“Syukur kerana kebelakangan ini saya banyak pula dapat watak protagonis,” ujarnya.
Berkongsi perkembangan terkininya, ujar Rita, selain drama Jangan Menangis Cinta yang sedang rancak ditayangkan di Astro Ria, drama terbaharu lakonannya, Juliet sudah disiarkan di TV1 sejak 3 Mei lalu.
“Saya bergandingan buat kali pertama bersama Redza Rosli. Selain itu, ia turut dibintangi Rozita Che Wan, Mas Anizan, Azza Elite, Mas Anizan, Aidit Noh dan Halmey Hamdah,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang