TAMPIL unik berbanding kumpulan muzik sedia ada, Ramayan memastikan setiap karya ciptaan mereka memberi makna tersendiri untuk tatapan peminat dan pendengar.

Membuktikan pegangan itu menerusi album sulung mereka, Di Persiaran Cakrawala, terbitan Luncai Emas, milik seniman tersohor, Datuk M. Nasir, pada 22 Januari lalu, Ramayan percaya single kedua, Puas yang turut dimuatkan dalam album itu memberi rasa sama.

Menurut vokalis dan gitaris kedua Ramayan, Pi’e, lagu tersebut merupakan satu-satunya karya ditulis oleh bekas ahli Ramayan, Naz (pemain keyboard) dan Amin (gitar) yang asalnya ditulis untuk projek sampingan mereka.

“Kali pertama saya mendengar lagu ini dimain oleh Naz menerusi piano, saya terus tertarik dengan pilihan kordnya.

“Saya berjaya mendapatkan susunan kord daripada mereka dan apabila cuba meletakkan melodi nyanyian, ia datang dengan begitu sahaja. Seolah-olah saya telah diberi ilham.

“Bukan sahaja melodi, malah liriknya. Proses yang selalunya mengambil masa sehari untuk disiapkan itu, selesai dalam masa beberapa jam sahaja,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut tentang single Puas, Pi’e berkata, lagu tersebut dihasilkan ketika dia berdepan situasi gelap dalam hidupnya.

“Dahulu saya percaya bahawa di mana sahaja ada cinta, di situ ada Tuhan. Dan kepercayaan itu dirasai paling kuat apabila saya terjatuh cinta dengan seorang gadis.

“Malangnya, gadis itu telah dimiliki orang lain iaitu sahabat saya. Saya tetap berkeras dengan cinta itu, sehingga menyebabkan mereka putus cinta.

“Setelah menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak mempunyai batas itu, maka tertulislah lagu ini, sebuah lagu penyesalan,” jelas Pi’e tentang sejarah di sebalik lagu Puas.

Dalam pada itu, single Puas merupakan satu percubaan oleh Ramayan untuk memberi nafas baharu kepada muzik rock Malaysia, terutamanya genre ‘rock jiwang’.

Iklan

Menurut pemain dram Ramayan, Que, bunyi rock yang dibawa kebanyakan artis hari ini kurang nilai kepuasannya dari segi kreativiti dan mesej yang disampaikan dalam lirik-liriknya.

“Kebanyakan penulis sekarang hanya mengambil berat tentang apa yang catchy dan easy-listening, malah menulis lirik yang tidak memerlukan daya pemikiran serta falsafah.

“Kami pun tulis tentang cinta juga, tapi cara penulisannya berbeza. Kami cuba melihat daripada sudut berbeza dan lebih mendalam. Inilah yang membuatkan lagu Puas unik,” katanya.

Iklan

Puas dirilis pada April lalu dan kini boleh didapati di semua platform digital muzik. Diikuti dengan video persembahan langsung Ramayan yang dirakam di Bsync Studios pada Disember tahun lalu.

Bagi meraikan pelancaran album sulung mereka, Ramayan mengatur pelbagai perancangan termasuk persembahan jelajah seluruh Malaysia, video muzik dan lain-lain. Namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), segala perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

Bagaimanapun, mereka bersikap optimistik dan cuba mencari inisiatif lain dengan menggunakan platform media sosial untuk memperomosikan album tersebut dengan sebaiknya.