PENYANYI Roy Kapilla menjadi peserta pertama tersingkir daripada program Gegar Vaganza 9 (GV9), pada konsert minggu kedua yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Roy yang menyampaikan lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hatiku nyanyian asal daripada kumpulan EYE itu mendapat markah paling rendah daripada barisan juri iaitu sebanyak 53.20 peratus (%).

Penyanyi yang berasal dari Kelantan itu mengakui tidak terkejut dengan penyingkiran tersebut kerana menyedari ada kekurangan dalam persembahannya pada minggu ini.

“Sebenarnya saya sudah tahu dan nampak daripada awal kekurangan dalam persembahan saya. Jadi selepas turun ke belakang pentas, saya tidak perlu tertanya-tanya lagi ke mana saya akan pergi.

“Memang persembahan saya tidak berapa OK pada minggu ini dan saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh juri,” katanya yang mengakui banyak belajar perkara baharu sepanjang berada di pentas GV9.

Sementara itu, Tomok tampil dengan persembahan cemerlang menerusi lagu Janji Padamu (Exists), sekali gus membawanya menduduki carta teratas dengan markah 80%.

Fuad Rahman, Dina Nadzir, Hairul Nizam dan Tom.
Tomok, Haida Hasnan, Asheed Def Gab C dan Jaclyn Victor.
Bob Yusof, Pat Candy, Roy Kapilla dan Shila Amzah.
VE

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

Pada minggu ini, Fuad Rahman diumumkan sebagai pemenang Anugerah Next Level Digi dan Jaclyn Victor pula penerima Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak.

Iklan

Persaingan konsert ketiga pada minggu hadapan akan diteruskan oleh Tomok, Hairul Nizam, Shila Amzah, VE, Jaclyn Victor, Pat Candy, Bob Yusof, Dina Nadzir, Asheed Def Gab C, Tom, Fuad Rahman dan Haida Hasnan.

GV9 yang dihoskan oleh Elly Mazlein dan Danial Zaini yang menggantikan Nabil Ahmad (minggu kedua) disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam.

Danial Zaini dan Elly Mazlein.
Barisan juri: Datuk Syafinaz, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang

Kedudukan dan markah peserta pada minggu kedua

Iklan

1. Tomok – Janji Padamu (80.00%)
2. Hairul Nizam – Untukmu Ibu (79.80%)
3. Shila Amzah – Getaran Cinta Di Jiwa (78.90%)
4. VE – Kasih Berubah (74.50.00%)
5. Jaclyn Victor – Gerimis Mengundang (74.40%)
6. Pat Candy – Makhluk Tuhan Paling Seksi (69.30%)
7. Bob Yusof – Kepulangan (64.50%)
8. Dina Nadzir – Ku Teruskan (61.40%)
9. Asheed Def Gab C – Percayakan Siti (60.60%)
10. Tom – Kemaafan Dendam Yang Terindah (59.90%)
11. Fuad Rahman – Suara Cinta (57.90%)
12. Haida Hasnan – Di Sebalik Sejuta Wajah (57.80%)
13. Roy Kapilla – Izinkan Selamanya Namamu Di Hatiku (53.20%)

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)