NAMA Rudy Zil dalam arena muzik tanah air mungkin masih sedikit asing. Namun di tempat asalnya, Negeri di Bawah Bayu, dia dikenali antara penyanyi dan komposer lagu yang sedang meningkat naik.

Sudah mula bertapak dalam dunia muzik sejak 2014 dengan penghasilan beberapa buah single, Rudy atau nama sebenarnya Mohd Fadzil Madi kemudiannya memilih mendaftarkan hak cipta lagu–lagu tersebut kepada syarikat Luncai Emas.

Rudy kemudiannya menyertai program Bengkel Hakcipta, Bikin Lagu & Video Muzik, anjuran syarikat sama dan mendapat bimbingan daripada Datuk M. Nasir tentang kesedaran dan kepentingan hak cipta dalam karya mereka.

‘’Menerusi bengkel itu , saya berpeluang ketengahkan lagu-lagu ciptaan sebelum ini untuk ditadbir dan diuruskan secara digital oleh Luncai Emas.

“Kesemua lagu–lagu tersebut sudah pun didaftar di semua saluran digital dan saya juga telah menjadi komposer secara eksklusif di bawah Luncai Emas.

“Antara lagu–lagu yang telah didaftar dan berada di pasaran seperti Jahatnya Kamu, Dan Ku Sayang–Sayang, Lagu Perpisahan dan Macam Comel Jer.

“Atas bantuan dan bimbingan Luncai Emas, lagu-lagu saya mula berkumandang di siaran digital,” jelasnya.

Tidak berputus asa biar pun selepas pandemik melanda negara, Rudy terus mengorak langkah dengan penghasilan single baharu berjudul Jaga Dirimu.

“Saya ambil masa 10 tahun untuk menyiapkan lagu ini. Saya tulis sekitar tahun 2011, tetapi liriknya baharu sahaja siap tahun ini.

Iklan

“Kemudian dengan bantuan penerbit Benn’s Studio (Ben Simon Bukag), kami siapkan proses pembikinannya selama empat bulan dan banyak kali tertangguh kerana kawalan pergerakan.

“‘Harapan saya agar lagu ini dapat diterima baik pendengar dan masyarakat,” jelasnya.

Tidak hanya aktif menyanyi dan mencipta lagu buat diri sendiri, Rudy juga banyak menghasilkan lagu untuk artis di Sabah seperti Nowhy Band, Erney E. Tugoe dan Syamlie.

Iklan

“Pencapaian tertinggi saya setakat ini apabila persembahan duet saya bersama Atmosfera berada dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS).

“CLAS ini kalau di Semenanjung ibarat seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Moga suatu hari nanti, karya saya dapat diiktiraf ke pentas lebih besar seperti AJL, Insya-ALLAH” ujarnya.