BIARPUN hampir 17 tahun berehat daripada industri seni disebabkan komitmen pada keluarga dan rumah tangga, minat dan kecintaan penyanyi Ruhil Amani Hussien terhadap dunia nyanyian tidak pernah berkurang.

Menunggu peluang terbaik untuk tampil kembali merencana kerjaya seni, Ruhil, 46, mengakui sedang membuat persediaan rapi sebelum merealisasikan hasrat tersebut.

Malah penampilannya menerusi Konsert Rockestra Nostalgia pada Sabtu lalu turut menjadi sesi ‘pemanas badan’, selain mengubati rindu peminat yang sudah lama menantikan kemunculan dirinya.

Menurut penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kawan itu, dia sebenarnya merancang kembali aktif sejak dua tahun lalu, namun pandemik Covid-19 membantutkan perancangan yang ada.

“Alhamdulillah aktiviti dan persembahan seni kini kembali dapat diaktifkan selepas lama terhenti disebabkan pandemik.

“Saya merancang untuk membuat penampilan semula dalam bidang nyanyian sebelum pandemik lagi, tetapi disebabkan situasi semasa tidak mengizinkan, ia terpaksa ditangguhkan.

“Bagaimanapun penampilan dalam konsert Rockestra Nostalgia menjadi peluang terbaik saya bertemu peminat,” ujarnya.

Pada konsert tersebut, Ruhil tampil menyanyikan tiga buah lagu popularnya iaitu Kawan dan Anak Dunia, selain sebuah lagu baharu, Cappucino.

“Sepanjang pandemik saya banyak membuat persiapan sendiri untuk mendapatkan kembali stamina, selain latihan vokal.

“Apatah lagi konsert Rockestra Nostalgia, saya satu-satunya artis perempuan membuat persembahan dikelilingi penyanyi legenda lelaki yang kesemuanya hebat.

Iklan

”Jadi saya mahu berikan persembahan terbaik dan buktikan saya layak berada di pentas bersama mereka,” katanya.

Berikan yang terbaik

Dalam usaha kembali aktif dalam industri seni, Ruhil berkata, dia bakal tampil dengan album baharu bergenre pop rock menerusi kerjasama dengan komposer Norm Aidid.

“Album ini telah siap dirakam, cuma tidak pasti bila akan dilancarkan. Saya tidak mahu terburu-buru, sebaliknya mahu melakukan satu persatu agar hasilnya bagus dan tidak mengecewakan peminat.

Iklan

“Jadi saya masih lagi membuat pelbagai persediaan untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik. Buat masa ini, saya banyakkan persembahan pentas dahulu untuk kembali sesuaikan diri,” katanya.

Ditanya apakah yang membuatkan dia terdetik kembali aktif dalam industri seni, ungkap Ruhil, ia kerana minat dan peluang yang datang selepas dua cahaya matanya, Ariana, 17, dan Raayan Alexander, 10, semakin membesar dan mampu berdikari.

“Saya kembali kerana minat terhadap dunia nyanyian dan anak-anak sudah makin besar. Jadi saya boleh kembali fokus kepada kerjaya berbanding sebelum ini,” katanya.