Rumah dipecah masuk, Azharina hanya fikir nyawa anak

AZHARINA AZHAR
AZHARINA AZHAR
A
A
A

PENYANYI Azharina berdepan detik cemas apabila kediamannya dipecah masuk individu tidak dikenali pada malam Ahad.

Azharina, 36, yang hanya tinggal berdua dengan anak lelakinya, Rahmat Azharin, yang kini berusia tujuh tahun itu bagaimanapun bersyukur apabila mereka berdua selamat dan individu terbabit tidak sempat melarikan apa-apa barang.

Menceritakan kembali detik itu, Azharina berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila terdengar bunyi yang mencurigakan di biliknya ketika sedang mengemas barang di ruang pejabatnya yang terletak di tingkat dua, kediaman tersebut.

“Ketika itu jam sudah 11 malam dan rumah saya pula memang sunyi. Jadi saya dapat dengar dengan jelas bunyi orang sedang membuka peti besi di bilik saya.

“Jadi saya dengan pantas lari ke bilik anak lelaki saya di tingkat sama kerana mahu menyelamatkan anak terlebih dahulu jika apa-apa berlaku.

“Dalam keadaan ketakutan yang teramat sangat saya terus menghubungi jiran untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Tambah penyanyi Elergi Sepi itu lagi, dia bernasib baik kerana jirannya pantas bertindak dan datang menyelamatkan mereka.

“Disebabkan jiran tidak dapat masuk daripada pintu hadapan yang berkunci, saya terpaksa membawa anak saya keluar menerusi tingkap di bahagian tepi bumbung rumah yang bersambung dengan rumah jiran.

“Ketika itu saya tidak fikirkan benda lain kerana dalam kepala saya hanya mahu memastikan anak selamat.

“Bagaimanapun saya tidak dapat keluar daripada situ, sebaliknya perlu turun ke bawah untuk membuka kunci pintu utama.

“Setelah dibuat pemeriksaan oleh pengawal keselamatan dan jiran saya, individu terbabit berjaya melarikan diri. Memang ada kesan umpil pada peti besi tersebut, namun dia tidak sempat mengambil apa-apa barang,” ujar Azharina.

Azharina yang tinggal di kediaman tiga tingkat yang dilengkapi dengan sistem keselamatan itu tidak menyangka kejadian buruk tersebut menimpa dia dan anak sehingga menyebabkan dirinya trauma dan ketakutan.

“Saya tidak pasti bagaimana dia dapat masuk kerana semua pintu rumah dan tingkap mempunyai alat penggera, selain pengawal keselamatan yang sentiasa membuat rondaan di kawasan rumah.

“Secara jujurnya saya tidak kisah pun jika kehilangan apa sahaja barang dalam rumah, namun tidak nyawa anak saya.

“Sejak malam tadi sehingga sekarang saya langsung tidak dapat melelapkan mata kerana trauma dengan apa yang berlaku. Saya benar-benar takut jika sesuatu yang buruk berlaku pada anak saya,” katanya yang menangis teresak-esak mengenang kejadian tersebut.

Dalam pada itu, juara Gegar Vaganza musim ketiga itu mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat yang mengambil berat terhadap dirinya dengan memberikan kata-kata semangat sebaik sahaja mengetahui tentang kejadian tersebut.

“Saya juga berterima kasih apa ramai rakan-rakan dan peminat yang mengambil berat tentang kami, selain keluarga yang tidak putus menghubungi saya bertanyakan keadaan.

“Syukur alhamdulillah saya dan anak selamat. Anak saya dalam keadaan baik-baik sahaja, cuma saya sahaja masih dalam keadaan trauma,” akhirinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca