KEMENANGAN Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 25 sebagai Hero Remaja 2020 pada tahun lalu telah membuktikan bahawa remaja lelaki juga mampu memiliki faktor triple threat dalam kriteria menjadi seorang public figure di Malaysia.

Kini dengan kemunculan semula pencarian Hero Remaja bagi edisi 2021, tentunya ramai tidak sabar menantikan siapakah barisan finalis yang akan terpilih kali ini bagi meneruskan kecemerlangan Nadhir Nasar.

Sejak peringkat uji bakat dianjurkan oleh Nu Ideaktiv menerusi majalah Remaja bersama-sama penyiar rasmi Astro pada Disember 2020, ratusan remaja dari seluruh Malaysia mencuba nasib dan menyerlahkan diri untuk bergelar finalis Hero Remaja 2021.

Ada wajah-wajah baharu dan tidak kurang juga mereka sudah pernah beberapa kali mencuba nasib untuk beraksi sebagai barisan finalis.

Masing-masing mempunyai misi tersendiri untuk memperkasakan golongan remaja di Malaysia, sama ada menerusi bidang seni mahupun bidang-bidang lain yang ingin mereka ceburi.

Kini setelah hampir tujuh bulan berlalu, tiba masanya untuk episod pertama pencarian Hero remaja edisi ditayangkan di kaca televisyen anda. Namun ada sesuatu yang berbeza pada kali ini.

Pencarian Hero Remaja 2021 akan dimulakan dengan program Prelude Hero Remaja 2021 di mana ia memberi peluang kepada para penonton untuk mengenali para finalis secara up close & personal.

Iklan

Sepanjang lapan episod bersiaran, Prelude Hero Remaja 2021 yang dihoskan oleh juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae, bakal menjadi medan pengenalan dan persiapan finalis sebelum menempuhi cabaran-cabaran utama dalam Hero Remaja edisi terbaharu itu.

Menerusi episod-episod tersebut, penonton boleh mengikuti potensi yang ada pada setiap finalis terpilih dan mula memberikan mereka sokongan hinggalah ke peringkat akhir kelak.

Iklan

Saksikan Prelude Hero Remaja 2021 yang akan bersiaran mulai 3 Julai, setiap hari Sabtu jam 9 malam di saluran Astro Ria atau boleh strim di Astro On Demand dan Astro Go.

Untuk mengikuti perkembangan terbaharu dan lebih banyak paparan menarik mengenai para finalis dan program Prelude Hero Remaja 2021, boleh layari www.remaja.my/hero atau media sosial majalah Remaja dengan tanda pagar #HeroRemaja2021 dan #HeroRemaja.