Sabri Yunus dipilih Duta Anak Seni Kelantan
PELAKON dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus, 61, dipilih sebagai Duta Anak Seni Kelantan sempena Malam Himpunan Dikir Barat 2022, anjuran kerajaan negeri Kelantan pada Jumaat.
Sabri yang cukup dikenali dengan watak Pok Ya Cong Codei itu merupakan salah seorang daripada 24 penerima anugerah menerusi sembilan kategori yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Kelantan, khususnya kepada penggiat seni budaya iaitu dikir barat.
Menurut anak jati Kelantan itu, pada mulanya dia menyangka panggilan yang memaklumkan tentang perkara tersebut hanya sekadar gurauan, namun ternyata ia sebaliknya.
“Kesemua penerima adalah penggiat aktif di bumi Kelantan kecuali saya. Saya
sejujurnya tak percaya bila dihubungi. Saya minta surat rasmi. Manalah tahu kawan bergurau atau prank, lebih teruk lagi scammer. Maklumlah zaman sekarang ni.
“Nombor duanya pula, kenapa dikir barat? Betul saya aktif berdikir tapi bukan di Kelantan. Saya pernah cuba cuba berdikir di Kelantan, satu ketika lama dulu pada tahun 1999.
“Ertinya 23 tahun saya tak berdikir di padang padang negeri ini. Tidak berdikir untuk penonton awam yang bertiket,” katanya.
Justeru Sabri berkata, dia terfikir adakah anugerah tersebut tepat untuk dirinya yang lebih aktif dalam cabang seni yang lain.
“Saya sentiasa positif dengan kerja saya. Dikir bukan hakiki kerja saya, tetapi saya lalui atas minat dan sayang. Tak mampu pun kalau diukur dari sudut kebolehan.
“Jadi lama juga saya fikir apakah anugerah ini benar untuk saya. Siang sebelum majlis malam tadi, barulah saya sahkan kehadiran bila diminta untuk tiba pada jam 8 malam. Saya jawab OK.
“Rupanya anugerah untuk saya itu anugerah Duta Anak Seni Kelantan. Saya bersyukur tidak atas nama dikir. Saya tak berani dan takut kerana itu bukan bidang khusus atau hakiki saya. Hanya minat dan sayang atau ‘angin’,” jelasnya.
Menerusi perkongsian sama di laman Facebooknya, Sabri turut menzahirkan ucapan terima kasih atas pemilihan tersebut.
“Terima kasih pada pihak jawatan kuasa pemilihan. Saya secara peribadi berterima kasih pada orang yang berani mencadangkan nama saya kerana saya tak pernah terlintas nama saya di pentas malam anugerah dikir barat, walau pun menumpang pentas.
“Saya terima anugerah ini kerana anugerah ini saja sebagai pembuktian bahawa yang saya buat tentang dikir barat tahun 1999 itu bukan satu pengkhianatan pada seni dikir ini.
“Saya harap pendikir muda generasi hari ini berani mengorak langkah lebih ke depan untuk membawa kesegaran pada dikir itu sendiri. Dikir juga perlu nafas yang lebih selesa dan segar untuk hidup yang lebih panjang,” katanya.
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
(FOTO: Facebook Sabri Yunus)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang