TEKA-TEKI berhubung pelantikan Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini terjawab apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Ketua Setiausahanya, Datuk Sri Mohammad Mentek mengesahkan berita tersebut pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, pihak KKMM memaklumkan pelantikan Dr. Md Nasir, 62, sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun akan berkuat kuasa pada 1 November 2021 sehingga 30 Oktober 2023.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan bekas CEO Finas terdahulu iaitu Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menamatkan perkhidmatannya pada 15 Oktober lalu.

Pemilihan tokoh akademik yang juga bekas Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Penyelidikan), Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dibuat atas keyakinan terhadap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya, mampu memacu Finas sebagai badan peneraju untuk menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

“Saya percaya sinergi antara beliau dan Ahli-Ahli Perbadanan Finas akan terus memantapkan hala tuju, perancangan dan pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem serta ekonomi kreatif di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Iklan

Dr Md Nasir yang juga bapa kepada pelakon adik beradik, Anzalna, Afifah dan Mia Nasir, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada tahun 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom (2014).

Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa, selain cemerlang menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni dan Warisan Budaya (Aswara) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Iklan

Diharapkan kehadiran Dr Md Nasir sebagai CEO baharu Finas bakal memberi sesuatu yang lebih positif kepada pengurusan Finas dan kemajuan dunia perfileman tanah air pada masa akan datang.