MENJADIKAN muzik sebagai platform menyampaikan mesej kepada dunia, kumpulan Salammusik kini tampil dengan single baharu berjudul Kuasa.

Single ciptaan sepenuhnya oleh Salam itu antara lain menyentuh tentang keganasan yang dicetuskan regim zionis, Israel terhadap penduduk Palestin.

Menerusi single itu juga, Salammusic  ingin membuktikan muzik tidak mempunyai sempadan untuk menyatukan orang dan memulihkan hubungan.

“Selagi konflik ini tidak dapat diselesaikan, ia akan berlaku berulang kali. Kita harus menyatukan para pemimpin dan mengembalikan pihak-pihak ke meja rundingan.

“Penggunaan kekuatan hanya menimbulkan lebih banyak kebencian,” katanya.

Mengharapkan mesej yang dibawakan menerusi single Kuasa itu dapat diterima ramai, Salammusic menyeru orang ramai untuk turut menyebarkan mesej keamanan untuk manusia sejagat.

“Kami percaya bahawa para pemimpin perlu berbincang dan berhenti menghabiskan lebih banyak wang untuk membunuh dan memusnahkan.

“Ia telah menyebabkan begitu banyak kematian, penderitaan dan kerosakan infrastruktur penting.

Iklan

“Kita tidak harus membiarkan perkara ini berterusan, sebaliknya perlu memikirkan tentang nasib mereka yang tidak bersalah, terutama anak-anak,” tegasnya.

Terdahulu, Salammusic tampil dengan single Galaksi Rindu yang menemui peminat pada 30 April lalu.

Bagaimanapun, selepas tercetusnya pergolakan terbaharu di Palestin, kumpulan ini memutuskan untuk menghasilkan single Kuasa untuk menyampaikan mesej penting kepada orang ramai.

Iklan

Ia juga selari dengan matlamat asal mereka menghasilkan karya dan muzik yang mampu memberikan semangat positif kepada masyarakat.

Muzik video single Kuasa kini boleh ditontondi di saluran YouTube Salammusik.